Oleh Mohd Farhan Darwis
PETALING JAYA― Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibahim berkemungkinan akan meninggalkan kerusi Parlimen Pauh untuk ditandingi dan akan memilih salah satu daripada mana-mana kerusi di Perak mahupun Selangor.
Anwar dalam pengumumannya hari ini bagaimanapun masih tidak menamakan calon yang bakal menggantikannya di kerusi tradisinya itu.
“Saya belum buat keputusan kerana ada cadangan yang meminta saya turun (bertanding) di Perak atau Selangor.
“Tetapi saya sedang menimbang untuk turun ke Perak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.
Ketika ditanya pemberita Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan menggantikannya di kerusi berkenaan, Anwar (gambar) berkata anaknya itu sedang berusaha di kawasan tersebut dan tiada sebab untuk “mengacau” Nurul Izzah.
“Dia (Nurul Izzah) sedang fokus di Lembah Pantai, apa pasal kita nak kacau dia.
“Biar (Datuk) (Raja) Nong Chik seorang kacau dia sudahlah,” katanya lagi.
Kerusi Permatang Pauh menjadi milik Ketua Umum PKR itu menerusi pilihan raya kecil pada Ogos 2008 selepas dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar juga turut mengumukan pada sidang media hari ini lima calon PKR yang bakal bertanding di Sarawak.
Mereka terdiri daripada Baru Bian (Limbang), Ali Biju (Saratok), Roland Engan (Baram), Abun Sui (Ulu Rejang) dan Abang Zulkifli Abang Engkeh (Batang Lupar).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan