Jumaat, 1 Mac 2013

Altantuya: Panggil semua disebut dalam SD1 Bala

Muhammad Faizal,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyambut baik pendedahan dilakukan oleh Penyiasat Persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Sehubungan itu, beliau mendesak Peguam Negara membuka semula kes perbicaraan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan memanggil kesemua nama-nama yang disebut di dalam akuan bersumpah pertama (SD1) yang dilakukan oleh PI Bala sebelum ini.

"Saya menyambut baik pendedahan berani yang dilakukan oleh PI Bala malam tadi dan ia merupakan satu permulaan baru kepada kes yang membabitkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya.

"Jadi, kita mendesak agar Peguam Negara segera membuka semula perbicaraan dan memanggil nama-nama yang disebut dalam SD1 itu," jelas beliau.

Khalid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut berpendapat, PI Bala telah merasakan diri beliau selamat dari ancaman pihak-pihak tertentu termasuk keluarga sehingga berani tampil secara terbuka untuk membuat pendedahan.

PI Bala yang sebelum ini terpaksa membuat akuan bersumpah kedua (SD2) dan membawa keluarganya ke India apabila terdapat ancaman dari pihak tertentu yang tidak senang dengan SD1 beliau itu.

"PI Bala tampil membuat pendedahan apabila beliau merasakan dirinya termasuk keluarganya terjamin selamat dan tidak akan dicederakan.

Bala malam tadi tampil di pentas umum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), beliau menceritakan penglibatannya sebagai penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda yang merupakan orang kepercayaan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

PI Bala juga menceritakan secara terperinci kandungan akuan bersumpahnya yang pertama di  forum ‘Pendedahan: Siapa Arah Bunuh Altantuya?’ itu.

Tiada ulasan: