Sabtu, 16 Mac 2013

2,000 anggota FRU akan bertugas pada PRU-13

THE MALAYSIAN INSIDER
 
GEORGE TOWN — Sebanyak 2,000 anggota dan pegawai pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) akan bertugas pada pilihan raya umum ke-13 ini, kata Komandernya Datuk Abdul Hamid Mohd Ali.
Katanya kesemua anggota dan pegawai terbabit telah menjalani latihan dan diberi pendedahan berhubung proses pilihan raya.

“Walaupun kita tidak terlibat secara terus dengan proses dalam menentukan keselamatan di tempat mengundi seperti menjaga lorong dan laluan  masuk ke kawasan membuang undi, kita bersedia memberi sebarang bantuan yang diperlukan dalam melancarkan proses pengundian nanti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Serah Tugas Pegawai Pemerintah Unit 3 FRU Pulau Pinang.

Pada majlis itu Timbalan Pegawai Pemerintah Unit 3 FRU Pulau Pinang DSP Rohaizat Abdul Ani akan memangku tugas Pegawai Pemerintah daripada Supt Mohammad Mokhtar Abdul Majid yang bersara wajib.

Mengenai penempatan anggota FRU di kawasan ‘panas’ pada pilihan raya umum akan datang, Abdul Hamid berkata jumlah kekuatan pasukan bergantung kepada permintaan ketua polis negeri.

“Berapa ramai anggota yang akan ditugas di negeri-negeri terutama  ‘kawasan panas’ adalah bergantung kepada permintaan dan kita akan penuhi (permintaan) itu supaya perjalanan pilihanraya berjalan lancar,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: