Roketkini.com
SUNGAI SIPUT,: Masyarakat India wajar menolak BN pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana gagal membela golongan minoriti itu yang dilanda pelbagai masalah sosio ekonomi walaupun sudah memerintah lebih lima dekad.
Walaupun BN sudah menabur pelbagai janji politik yang bersifat sementara tanpa melihat dan menyelesaikannya secara proaktif perkara asas yang menjadi punca permasalahan dan kesusahan yang ditanggung selama ini.
Naib Pengerusi DAP Perak, M.Kula Segaran berkata, BN sedar bahawa masyarakat India negara ini adalah kunci jatuhnya BN pada pilihan raya umum.
Justeru, BN cuba memancing mereka dengan pelbagai imbuhan dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini ujarnya pada satu majlis sambutan Deepavali.
“Persoalannya, adakah imbuhan itu memadai bagi menyelesaikan masalah pokok yang sudah sekian lama melanda komuniti ini,” katanya.
Ketika berucap, Kula yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat mengingatkan sekali lagi kepada Perdana Menteri, Najib Razak di mana bekas Presiden MIC S Samy Vellu sendiri pernah membangkitkan tujuh perkara penting masalah yang dihadapi masyarakat India.
“Tujuh perkara itu membabitkan pengambilan pelajar India ke universiti, pembabitan yang lebih kompetitif dalam pasaran saham, peluang pekerjaan yang lebih baik terutamanya dalam sector awam, peningkatan biasiswa dari kerajaan, akses kepada latihan keusahawanan dan pinjaman mikro-kredit, program basmi kemiskinan yang efektif dan memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam dengan wajar dan adil,
“Apakah MIC di bawah kepimpinan baru Datuk G.Palaniveil sudah melupakan semua gesaan dan syor mereka sebelum ini. Nampaknya ia sudah dilupakan.” ujar beliau.- Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan