MALAYSIA KINI
Kerajaan
Selangor tidak akan membenarkan penguatkuasaan kamera Sistem
Penguatkuasaan Automatik (AES) yang telah dipasang di negeri ini kerana
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gagal membuktikan AES adalah cara
terbaik untuk mengatasi peningkatan kadar kemalangan jalan raya, kata
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim."Setelah mendengar taklimat oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) semalam, kerajaan negeri bercadang untuk melantik penilai bebas untuk mengkaji sama ada Kementerian Pengangkutan telah mengambil kira secara menyeluruh langkah-langkah sepatutnya sebelum membuat keputusan untuk mengunapakai dan memasang sistem AES ini.
"Dari pembentangan tersebut, kerajaan negeri juga mendapati Kementerian Pengangkutan telah gagal mendapatkan kebenaran untuk pembinaan struktur bagi sistem AES daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, tegasnya, kerajaan negeri mengarahkan semua PBT untuk memaklumkan kepada kementerian menyatakan bahawa pemasangan AES telah tidak mematuhi undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan sehingga perkara ini dipatuhi.
"Kerajaan negeri merasakan perjanjian di antara Kerajaan Pusat dan syarikat konsesi perlu dikaji semula sebelum sistem AES dapat dikuatkuasakan.
"Kerajaan negeri juga dimaklumkan bahawa syarikat konsesi akan mendapat keuntungan 17 peratus di mana kerajaan negeri berpendapat jumlah keuntungan itu tidak wajar.
"Kerajaan negeri juga mengesyorkan kutipan sama dimasukkan dalam Akaun Amanah berbanding Akaun Yang Disatukan untuk membiayai program kesedaran keselamatan jalan raya," tegasnya.
Dengan cara ini, tegasnya, rakyat yang membayar saman akan menyumbang kepada negara bukan membantu menambah kekayaan golongan peniaga.
Menerusi akaun amanah ini, tambahnya, syarikat konsesi hanya dibenarkan mengutip keuntungan wajar bagi menampung kos pemasangan kamera AES.
"Dengan cara ini juga, syarikat konsesi lebih berhati-hati untuk memasang AES dengan memilih kawasan-kawasan strategik untuk mengelak menanggung kos pemasangan yang tinggi.
"Kerajaan negeri tidak bertolak ansur sekiranya syarikat konsesi mahu mengaut keuntungan melampau hasil penswastaan saman kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan