Khamis, 15 November 2012

Pemuda Pas mahu jawatan PM dan Menteri Kewangan disandang individu berbeza

HAZELEN LIANA KAMARUDIN dan SAPINAH ABD GHANI

KOTA BHARU - Pemuda Pas Pusat mahu jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, dipegang oleh individu yang berbeza bagi menjamin fungsi semak dan imbang dalam pengurusan kewangan negara.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, perkara tersebut  merupakan salah satu polisi yang akan diangkat dalam kerangka 10 agenda negara berkebajikan.

"Polisi ini telah diutarakan oleh golongan profesional muda sempena program Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya yang dianjurkan Ogos lalu," katanya dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-53 yang diadakan di Dewan Jubli Perak di sini.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, mereka juga berbesar hati untuk mengangkat beberapa polisi yang pernah diutarakan oleh perwakilan profesional muda yang mewakili pelbagai disiplin ilmu.

Beliau berkata, ia bagi merealisasikan dan mencorak masa depan di dalam kerangka 10 agenda negara berkebajikan.

Katanya, selain itu perkara lain yang akan ditekankan ialah cadangan mewujudkan Parlimen Belia di setiap negeri bagi memberi peluang golongan itu yang berumur antara 15 hingga 35 tahun mengupas isu-isu anak muda serta isu nasional.

Nasrudin berkata, peluang tersebut dilihat dapat melibatkan mereka dalam perbincangan dan penggubalan dasar serta memberi peluang menyalurkan idea dan pandangan.

"Saya yakin dengan sumbangan dan kreativiti anak muda di pelbagai peringkat penyertaan mereka , Negara Berkebajikan yang diimpikan akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam ucapan tersebut, Nasrudin turut menekankan soal agama, anak muda, politik, ekonomi sosioekonomi dan kepenggunaan.

Beliau berkata, dalam soal sosioekonomi Pemuda Pas mahu memperkenalkan polisi cukai baru bagi golongan yang disifatkan sebagai terlampau kaya serta untuk memastikan golongan yang layak membayar cukai tidak ingkar.

Menurutnya, mereka juga akan memberikan perhatian serius terhadap agenda pendidikan di dalam jamaah bermula daripada institusi Pasti, seterusnya sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi yang dikelolakan oleh Pas.

"Kami yakin berkat usaha dan bimbingan cerdik pandai, dapat melahirkan gerakan mahasiswa yang bakal menerpa sejarah sebagai pencorak kebangkitan Malaysia baru dengan kekuatan sebagai gerakan keilmuan yang mendidik dan bersifat inklusif," katanya.

Selain itu, Nasrudin turut menggesa agar Pas Pusat bekerja kuat bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kita perlu memposisikan diri di khalayak anak muda dan perlu tampil dilihat mewakili generasi muda yang memahami kehendak serta suara anak muda.

"Turut sama mendokong aspirasi dan memperjuangkan idealisme mereka selama mana tidak bertentangan dengan Islam sebagai dasar perjuangan kami, " katanya.

Tiada ulasan: