Isnin, 12 November 2012

Pakatan jaga masyarakat India termasuk lain2 kaum – Anwar

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat India di negara ini tidak akan diabaikan jika Pakatan Rakyat (Pakatan) berpeluang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke 13.

Beliau berkata, kaum India yang sebelum ini seringkali diabai Kerajaan Umno BN akan diberi perhatian sama-rata termasuk kaum-kaum lain yang menjadi penduduk di negara ini.

Katanya, contoh terbaik yang ditunjukkan adalah Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang memberikan peruntukan berjumlah RM4 juta setiap tahun kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri itu.



“Jika 50 tahun dahulu, SJKT tidak pernah menerima bantuan khusus bagi pembangunan sekolah, kerajaan negeri sekarang beri tiap-tiap tahun RM4 juta untuk semua SJKT di Selangor,” kata Ketua Umum KEADILAN itu sempena lawatannya ke tapak Pesta Deepavali di Jalan Kelana, Klang, Sabtu lalu.

Turut hadir Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu menggesa semua rakyat menanamkan keyakinan kepada Pakatan bagi melaksanakan dasarnya yang terbukti demi kepentingan rakyat.

“Macam-macam kita sudah dengar, daripada mansuhkan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), turunkan harga kereta dan pelbagai lagi dasar yang akan dilaksanakan Pakatan jika memerintah Putrajaya.

“Saya tidak mahu lagi gaduh-gaduh soal kaum, kita akan jaga semua kaum dan rakyat di negara ini,” kata dipetik Media Selangorku.

Tiada ulasan: