Isnin, 12 November 2012

Fitnah Umno tak gugat Izzah pertahan kerusi Lembah Pantai

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar dipercayai mampu pertahan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan sokongan rakyat terhadapnya tidak pernah tergugat walaupun dilanda kontroversi akibat putar belit media Umno.



Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah Pantai, Abdullah Izhar Mohd Yusof berkata, hasil tinjauan kawasan itu mendapati rakyat tetap menyokong penuh kepimpinan Nurul Izzah.

“Dengan isu ini, rakyat faham apa yang berlaku. Mereka jelas dengan pendirian Nurul Izzah dan tahu kenyataannya sengaja diputar belit.

“Media Umno memang sengaja mahu pesongkan pemikiran rakyat dengan memberi tafsiran salah berhubung kenyataannya melibatkan surah al-Baqarah dengan Perlembagaan Negara,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, yang berminat untuk bertanding di Lembah Pantai menuduh kenyataan Nurul Izzah dalam isu kebebasan beragama membuktikan pembangkang hanya pentingkan undi dan tidak ikhlas berjuang untuk rakyat.

Nong Chik berkata, tindakan Nurul Izzah yang kononnya mahu mendapat undi rakyat dan memuaskan hati hadirin semasa forum tersebut menyebabkan beliau terperangkap dengan kata-katanya.

“Nong Chik sengaja ambil kesempatan, tapi beliau sendiri tidak sedar Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menghina hukum hudud. Mana pendirian Umno BN dalam isu ini?

“Umno sengaja mahu panaskan isu ini kerana nak alih pandangan rakyat akibat kenyataan Soi Lek yang mereka diamkan walaupun secara terang hina hukum Islam,” katanya.

Tambah Abdullah Izhar, isu tersebut tidak perlu dipanjangkan kerana Nurul Izzah sudah menyerahkannya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Apa pun sekarang, kita tunggu sahaja laporannya siap. Pihak lain jangan sibuk nak hakimi isu, sedangkan laporannya belum dikeluarkan lagi,” ujarnya.

Pada pilihan raya umum lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Raja Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya yang mendapat tender kontrak berbilion ringgit.

Tiada ulasan: