Salmiyah Harun, |
Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, maklumat yang diperolehi daripada pihak bank mengatakan jika harga saham jatuh pada harga RM4.78 pun pemegang saham sudah kerugian.
"Kalau ditolak dengan interest, bayaran kepada bank jelas pemegang saham atau peneroka sudah rugi. Kalau harga hari ini RM4.61 bermakna ia sudah jauh jatuh, sudah negatif," katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, apabila rugi pemegang saham tidak dapat menjual saham mereka akhirnya mereka sebenarnya bukan menikmati durian runtuh tetapi sedang menghadapi malapetaka.
Walaupun katanya, peneroka diberi skim membayar RM50 sebulan kepada bank hakikatnya peneroka berdepan dengan penambahan hutang termasuklah interest serta hutang yang lain.
"RM50, berapa lama kena bayar untuk 800 unit saham? Dalam RM3600 lebih sedangkan pada waktu ini peneroka sudah terbeban dengan pelbagai potongan seperti tanaman semula, penyelenggaran ladang, hutang baja perumahan dan macam-macam lagi. Bertambah lagi beban mereka," katanya semasa dihubungi.
Masalah ini katanya bukan sahaja dihadapi oleh peneroka bahkan kakitangan Felda lebih teruk menanggung bebanan ekoran kejatuhan harga saham FGVH.
Jelasnya, kakitangan Felda ditawarkan saham lebih banyak kira-kira 10 lot tetapi mereka mengambil sikap tidak menjual saham itu kononya mahu dijadikan simpanan dengan harapan harga saham naik.
"Tiba-tiba jatuh, mereka mengadu dengan saya mohon Anak berbuat sesuatu," jelasnya.
Menurut Mazlan, purata kakitangan biasa (bukan anak syarikat) mendapat gaji antara RM1500 hingga RM3000, dalam masa yang sama mereka terpaksa membayar pinjaman saham tidak kurang RM500 sebulan kepada bank.
"Berdasarkan lot saham yang ditawarkan mereka ini tidak dibantu apa-apa, bila mereka rujuk kepada pengurusan kata biasalah main saham adatlah untung rungi," katanya.
Justeru katanya, nasib peneroka dan pemegang saham semakin 'kronik' apabila harga komoditi pula dilaporkan jatuh.
"Di waktu peneroka dibuai perasaan susah, pemimpin masih memberi pengharapan kononya suasana ini hanya sementara, sambil memujuk supaya mereka bersabar," katanya agar kerajaan menangguhkan potongan bulanan peneroka buat sementara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan