Oleh: Aliff Fikri
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol perubahan negara yang selama ini diperintah oleh kelompok ‘bangsawan’.“Anwar adalah sebagai unsur berubah. Saya kata, lihat dunia kuasa kita selama lebih 55 tahun, berterusan di tangan kelompok bangsawan.
“Andaian bahawa saya ini menentang raja- saya kata, bangsawan ini di bawah sedikit dari raja, bukan di atas.
“Jadi Kelompok bangsawan inilah sebenarnya telah dipelihara oleh penjajah, ataupun kuasa luar untuk menjaga kepentingan mereka,” kata Pak Samad ketika pertemuan dengan Kumpulan Kartunis Independen (KKI) baru-baru ini.
Sasterawan berusia 77 tahun itu berkata, tidak pernah dalam sejarah negara, perdana menteri muncul dari kalangan rakyat biasa.
“Saya jelaskan deretan orang yang berkuasa macam Tunku Abdul Rahman- bangsawan, Tun Razak -bangsawan, Tun Hussein- bangsawan, Mahathir – walaupun pada mula tidak bangsawan tapi akhirnya dia bangsawan juga, Abdullah Badawi – ‘agamawan bangsawan’, (dan) Najib…
“Tidakkah terfikir mengapa tidak pernah ada watak wira dari bawah,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan pak Samad.
Sasterawan yang terkenal dengan Novel Salina ini berkata, golongan bangsawan yang memerintah kini terus-menerus memanipulasi kuasa termasuk mengawal media dan institusi keselamatan.
“Akhbar semua haknya, polis tidak bertindak sebagai penjaga keselamatan (tapi) nampaknya bertindak sebagai penjaga tuannya, tidak untuk rakyat, itu yang saya bantah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu berkata, perjuangan menuntut pilihan raya adil dan bersih mendapat liputan meluas media antarabangsa dan media alternatif tempatan.
“Baru-baru ini (Pengerusi Bersama Bersih) S Ambiga telah ditemuramah oleh CNN. Saya juga telah ditemurah oleh beberapa media antarabangsa, seperti media dari Germany, Italy, Thailand serta yang terakhir oleh media tempatan.
“Ini merupakan penerobosan yang luar biasa, maksudnya dunia memberi perhatian dengan apa yang berlaku,”
“Walaupun media utama dalam negara sama sekali tidak melayan dan sering menggambarkan seolah-olah Bersih itu tidak berkesan, kami tidak rungsing sangat soal itu kerana apa yang lebih penting adalah interaksi kami dengan umum,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan