Ahad, 1 April 2012

SU Agung: Ahli Umno kena buang sindrom kecewa

SINAR HARIA

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menggesa anggota Umno supaya segera menjauhi sindrom kecewa akibat tidak mendapat sesuatu yang dihajati sehingga sanggup mengkritik parti.

Beliau berkata sindrom kecewa itu dibimbangi akan memudaratkan parti sehingga menyebabkan kelahiran golongan 'anai-anai' atau 'gunting dalam lipatan' di kalangan anggota parti sedangkan mereka seharusnya meneruskan perjuangan Umno dan bukannya terus dikuasai rasa kecewa.

"Ada yang maki Umno. Kata Umno ini busuk kerana mereka kecewa tidak dapat jawatan (dalam parti) atau barangkali kecewa tidak dapat rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia.

"Ada juga yang kecewa tidak dapat projek, kecewa tidak dapat jumpa Perdana Menteri. Inilah masalah bangsa kita kerana ada sindrom kecewa ini," katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan-Cawangan Berkelompok Umno Bahagian Putrajaya di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut menasihatkan anggota Umno supaya tidak terlalu mementingkan jawatan dalam parti, sebaliknya memfokuskan kepada persediaan menghadapai pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Berhentilah daripada soal siapa nak jadi ketua bahagian, siapa nak jadi timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian, ketua Pemuda, ketua Wanita. Berhentilah daripada bertelagah sesama sendiri kerana jawatan," kata beliau. – Bernama

Tiada ulasan: