Khamis, 5 April 2012

Projek Terbengkalai '150 Meter' Dari Rumah Najib, Pembeli Kecewa Sikap ADUN Dan Perdana Menteri

PAHANG DAILY


PEKAN- Para pembeli projek rumah Pekan Jaya Fasa II dekat sini, kecewa dengan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya iaitu YB Ibrahim Awang kerana masih gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka biar pun selepas beberapa tahun menjadi Wakil Rakyat di kawasan terbabit.

Sikap acuh tak acuh ADUN terbabit dalam menyelesaikan masalah yang ditanggung oleh para pembeli ini kini semakin kritikal, tambahan pula Pilihan Raya Umum ke-13 kini semakin hampir. Justeru, pihak berkenaan gusar jika isu ini dijadikan "modal politik" oleh pihak pembangkang untuk membuktikan laungan "rakyat didahulukan" oleh kerajaan itu sekadar "indah kabar dari rupa".

Inilah senario yang berlaku kepada 22 pembeli rumah yang kini menjadi mangsa akibat kegagalan pemaju (Exact Management Sdn Bhd) menyiapkan rumah yang mereka beli dengan harga antara RM190,000 hingga RM250,000 itu. Menurut seorang pembeli yang ditemui, beliau hairan kenapa pemimpin setempat termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak sendiri tidak cakna dengan isu itu.

"Bayangkan sudah banyak kali kami ajukan perkara ini kepada YB terbabit dan juga PM sendiri. Namun jawapannya tunggu dan lihat ... sedangkan kami terpaksa membayar pinjaman perumahan sejak setahun yang lalu. Bila diajukan kepada pihak berkenaan, mereka dengan mudah berjanji akan menyelesaikannya. Tapi, apa yang terjadi kami kini seolah-olah orang asing dibumi sendiri.

Mereka melayan "warga asing" dengan baik di Pekan terutamanya Kamboja, Myanmar dan sebagainya. Tapi rakyat Pekan sendiri yang berbangsa Melayu kini dianaktirikan. Kami tidak diberi keistimewaan, walau pun kesemua pembeli adalah berbangsa Melayu. Mana pergi laungan, Hidup Melayu yang diwar-warkan selama ini"
, katanya yang tidak mahu nama beliau disiarkan.

Sebelum ini, PDO pernah menyiarkan rintihan para pembeli terbabit dalam artikel terdahulu yang bertajuk "Pembeli Kecewa, PM Najib Tergamak Tutup Mata Menyelesaikan Masalah Projek Terbengkalai Yang 'Hanya 150 Meter Dari Rumahnya' Di Pekan". Malah, isu berkenaan juga telah disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan selepas itu.

Namun difahamkan, sehingga ke saat ini tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh pihak pemaju mahu pihak pihak yang berkenaan untuk menyelesaikan masalah ini. Difahamkan juga, rata-rata pembeli adalah pegawai kerajaan yang antara mereka termasuk guru dan juga kakitangan sebuah IPT di Pekan.



Kawasan rumah telah dinaiki semak samun gara-gara projek terbengkalai




Lebih 80% disiapkan, tiba-tiba projek terbengkalai bila pemaju lepas tangan




Tar pun sudah diturapkan pada sebahagian dari jalan di kawasan terbabit


Sementara itu, menurut Mohd Shamsuzaini Mohd Nor, 33, selaku Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Pekan Jaya Fasa II juga berharap pihak berkenaan (ADUN dan PM) mengambil berat masalah yang mereka hadapi sekarang ini. Jika tidak pasti kesemua mereka akan menjadi mangsa apabila terpaksa membayar pinjaman perumahan terhadap satu projek yang terbengkalai.

"Saya sudah berjumpa dengan pemaju berkenaan (Exact Management Sdn Bhd), namun pejabat mereka di Kuantan juga sudah ditutup sekarang. Cuma saya masih dapat berhubung dengan beliau menerusi telefon dan berjanji akan menyelesaikan masalah ini.

Namun, janji tinggal janji dan aduan telah kami buat kepada pihak berkuasa termasuk pemimpin. Namun kini, nampaknya tiada apa yang dapat mereka lakukan, hanya sekadar memberikan janji-janji manis namun segalanya masih samar-samar. Apakah kerajaan rela melihat kami terus begini?. Kepada siapa lagi kami mahu meminta pertolongan kalau bukan kepada wakil rakyat yang tugas mereka membela "
, kata beliau.


[Melihat kepada apa yang berlaku ini, tidak timbul soal mengatakan isu ini harus ditangani oleh pihak terbabit dengan pemaju sendiri. Mereka sudah usahakan perkara itu berkali-kali namun tiada jalan penyelesaiannya.

Maka, jalan terbaik ialah mengajukan permasalah itu kepada wakil rakyat setempat, tambahan pula kawasan parlimen Pekan di wakili oleh Perdana Menteri Malaysia sendiri. Masakan seorang PM tidak mampu untuk menangani masalah sekecil ini?.

Anehnya, pemimpin politik di Pekan begitu berselera membantu dan membela warga asing terutamanya dari Kemboja, Myanmar dan sebagainya. Mereka dilayan lebih istimewa daripada orang-orang Melayu itu sendiri.

Jika ini keadaannya, apakah makna laungan "rakyat didahulukan"?. Pihak terbabit sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat yang teraniya. Jangan dek kerana isu ini akhirnya orang Melayu Pekan menolak pemimpin UMNO BN pada Pilihan Raya Umum akan datang. Mujurlah isu ini masih ditangani oleh pihak yang berkenaan tanpa pengaruh di politik pembangkang lagi].

Tiada ulasan: