Oleh Nur Atiqah Abd Samad
ANTARA POS.COM
KUALA LUMPUR : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengambil tindakan susulan berikutan pendedahan video yang didakwa menunjukkan gerakan kristianisasi ke atas orang Islam oleh bekas Exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali, semalam.
Ketua pengarahnya, Datuk Othman Mustafa berkata satu siasatan terperinci akan dilakukan oleh jawatankuasa berkenaan bagi menangani gerakan tersebut.
"Kita akan lihat dulu pendedahan (video) itu dan akan minta kerjasama serta berjumpa dengan Hasan Ali untuk mendapatkan klip video tersebut.
"Perjumpaan secepat mungkin dan lihat kisah-kisah yang dipaparkan sebelum menyiasat pendedahan ini di bawah jawatankuasa menangani ajaran sesat termasuk murtad," katanya ketika disoal pemberita pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian bersama Jakim dan Daganghalal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Semalam, Presiden NGO pro-Melayu Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali mendedahkan video yang didakwa menunjukkan gerakan kristianisasi ke atas orang Islam.
Dua versi video, masing-masing sepanjang 42 minit dan 16 minit, didedahkan kepada media dalam satu sidang media di kediaman bekas exco hal ehwal agama Islam Selangor itu, di Petaling Jaya.
Video berkenaan antara lainnya menunjukkan temubual dengan sepasang suami isteri yang mendakwa pernah dikristiankan oleh sekumpulan mubaligh Australia.
Seorang daripadanya, yang dinyatakan identiti samaran sebagai Ramli Abdullah, 47, turut menceritakan bahawa beliau pada asalnya didekati kumpulan mubaligh berkenaan yang menawarkan pekerjaan, tempat tinggal dan juga makan minum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan