Pergerakan itu tidak akan mengemukakan sebarang permintaan bagi pertambahan kerusi untuk ditandingi pada PRU-13 nanti.
KUCHING: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan bilangan kerusi yang akan ditandingi wakil pergerakan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Ketuanya, Datuk Haji Fadillah Yusuf berkata, pergerakan itu tidak akan mengemukakan sebarang permintaan bagi pertambahan kerusi untuk ditandingi, tetapi sentiasa bersedia menggalas amanah yang diberikan oleh BN.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk kepimpinan parti. Saya yakin dan percaya pucuk pimpinan berhak dan lebih arif mengenai hal ini,” katanya kepada FMT.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya itu ditemui pada Majlis Perasmian Program Francais Komuniti Peringkat Negeri Sarawak.
Ditanya sama ada Pemuda meminta tambahan kerusi, Fadillah berkata: “Kami tidak akan sesekali meminta kerana itu bukan budaya BN di Sarawak,” tegasnya.
Majlis Perasmian Program Francais Komuniti Peringkat Negeri Sarawak dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan dihadiri timbalannya, Datuk Hajah Rohani Haji Abdul Karim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan