Rabu, 11 April 2012

DILEMA : Jika UMNO-BN terus memerintah, media massa tetap di takok lama

Roketkini.com



Biasanya dalam mengejar gambaran umum atau the big picture, kita sering terlupa perkara-perkara asas walau pun jelas ia tidak adil dan zalim.

Di alam maya serta forum kedai kopi, umum sibuk melayan pandangan Datuk Seri Najib Razak mengenai undi kaum Cina yang disiarkan secara langsung oleh NTV7 malam tadi. Sudah tentu banyak pro dan kontra pendapat dalam membahaskan wawancara Perdana Menteri tersebut.

Yang sudah dilupakan ialah, walau apa pun janji Najib serta para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional untuk melakukan transformasi kononnya, media massa terus berada dalam cengkaman parti pemerintah.

Najib kempen untuk UMNO-BN melalui TV

Dalam wawancara malam tadi, Najib bercakap lebih jauh daripada sekadar seorang Perdana Menteri. Beliau jelas berkempen untuk UMNO-BN. Belum pun Parlimen dibubarkan, Najib sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN telah mula berkempen politik.

Bukan sahaja malam tadi, malah, siri jelajah kempen UMNO-BN yang dilakukannya mendapat liputan luas semua media massa, yang memberi gambaran jelas bahawa sejak Merdeka hingga hari ini, media massa adalah milik parti pemerintah.

Tidak akan ada wawancara TV yang sama untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan Lim Kit Siang.

Tidak ada radio atau akhbar yang akan memberi ruang yang sama luas dan sama adil kepada para pemimpin Pakatan. Malah, para pemimpin NGO seperti Bersih, gerakan anti-Lynas dan Suaram tidak akan mendapat liputan yang adil, selain daripada kutukan dan cacian pimpinan UMNO-BN serta para pecacai mereka.

Tidak ada ruang sama sekali untuk Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP. Jika mana-mana satu parti Pakatan disebut dalam media massa, ia hanya untuk mengutuk, mengecam dan memfitnah. Dan ia bukan sekadar Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi UMNO yang berpura-pura sebagai media massa tetapi diamalkan oleh semua media massa yang ada di negara ini.

Budaya ini hanya berlaku pada negara diktator komunis dan fasis. Bagaimana ia masih boleh berlaku di negara yang kononnya demokratik seperti Malaysia?

Walau apa pun janji transformasi Najib, jelas media massa akan kekal di dalam tangan UMNO-BN buat selama-lamanya jika gabungan pemerintah itu dipilih sekali lagi sebagai kerajaan pusat.

Mengapa media bebas penting?

Rakyat akan terus disajikan dengan propaganda UMNO-BN tanpa mendapat penjelasan dan penerangan daripada Pakatan Rakyat dan kumpulan-kumpulan masyarakat madani. Segala korupsi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan fitnah akan terus berleluasa jika UMNO-BN kekal sebagai kerajaan.

Jika ada yang kurang cerdik yang menganggap penerbitan Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket sebagai tanda kebebasan media, mereka perlu dicerahkan bahawa semua itu adalah lidah rasmi parti, dan bukannya media massa. Malah, kerajaan UMNO-BN mengenakan syarat-syarat yang amat ketat terhadap mereka.

Jika mahu keadilan dilaksanakan (walau pun secara negatif), maka semua media massa perlu terikat dengan syarat-syarat yang dikenakan terhadap Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket, iaitu hanya dibenarkan terbit dua kali sebulan sahaja dan hanya boleh dijual kepada ahli-ahli parti sahaja. Oleh itu, kata orang sekarang, jangan dibandingkan epal dengan oren.

Malah, yang dikatakan transformasi Najib itu sendiri adalah satu bentuk propaganda yang tidak boleh dibedah, diulas dan dikritik kerana, seperti mana yang diamalkan oleh regim komunis dan fasis, media massa kini dan akan selamanya berada dalam kawalan UMNO-BN.

Dilema rakyat ialah menentukan sama ada mahu terus rela dibohongi pemerintah yang mahu menutup segala kesalahan dan dosa terhadap rakyat, atau melakukan sesuatu yang sepatutnya telah lama dilaksanakan – Ubah! – Roketkini.com

Tiada ulasan: