“Sekiranya mereka tidak membenarkan kami menggunakan Dataran Merdeka, kami akan tetap berkumpul di sana, atau berada berhampiran dengan kawasan tersebut,” jelas ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Wong Chin Huat kepada The Malaysian Insider hari ini.
Namun Wong tetap optimis mereka akan tetap mendapat kebenaran, dan menambah kegagalan DBKL mengeluarkan permit akan menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak ikhlas and telah “hilang kawalan terhadap DBKL”.
“Kita letakkan ia begini — DBKL sebahagian daripada kerajaan, dan kami bergantung kepada Najib untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dan memahami kehendak rakyat,” katanya.
Tambahnya, beliau yakin DBKL sudah mengetahui tentang rancangan Bersih 2.0 untuk menggunakan Dataran Merdeka dalam perhimpunan 28 April ini, dan permohonan tersebut hanyalah satu bentuk formaliti.
The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Bersih 2.0 telah menerima nasihat Putrajaya untuk berbincang dengan DBKL berkenaan rancangan perhimpunan tersebut.
Namun pengerusi bersama pemerhati pilihan raya itu, Datuk Ambiga Sreenevasan, menegaskan kepada The Malaysian Insider yang permohonan permit itu hanyalah satu formaliti kerana Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah pun memberikan kebenaran.
Bersih 2.0 telah memilih Dataran Merdeka sebagai lokasi untuk Bersih 3.0 atas faktor sejarah dan perjuangan menuntut kemerdekaan.
Dataran Merdeka adalah di mana pertama kali bendera Malaysia dikibarkan milik Kelab Diraja Selangor sebelum diambil alih DBKL pada tahun 1987.
Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di jalanan bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.
Polis telah bertindak menembak gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan peserta ekoran perhimpunan itu tidak mendapat permit.
Insiden itu mendapat maklum balas negatif daripada publik dan media antarabangsa, dan dilihat menjadi pemangkin kepada pembaharuan-pembaharuan yang dilaksanakan oleh kerajaan kebelakangan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan