Ahad, 12 Februari 2012

Valentine's Day - Mereka Untung Atas Kerosakan Kita!

malaysiadaily
Ramai sudah maklum bahawa Valentine’s Day HARAM disambut oleh ummat ISLAM (rujuk artikel JAKIM). Ia bukan sahaja mempunyai kesan negatif tersebarnya aktiviti maksiat, malah ia jelas mempunyai elemen tasyabbuh kepada perbuatan orang-orang kafir dan juga mempunyai nilai-nilai agama bukan Islam.

Tetapi, kenapa Valentine’s Day masih tidak dapat dibuang dari sebahagian rakyat Malaysia yang beragama ISLAM? Malah, di negara lain juga? Kenapa ia masih berlegar di dalam masyarakat muslim, walhal banyak sudah penerangan dan teguran telah dibuat?

Mungkin ini sebabnya:

Media samada TV, radio, suratkhabar, majalah, internet dan seumpamanya mendapat keuntungan dari Valentine’s Day ini. Bagaimana? TV contohnya mensensasikan Valentine’s Day melalui penayangan filem-filem atau drama-drama cinta. Mereka tahu filem/drama berteraskan cinta dan romantik akan meningkatkan rating mereka. Kerana ia memang sentiasa mendapat perhatian masyarakat, terutama remaja. Dan tentunya mereka akan dikerumuni tempahan iklan dari syarikat-syarikat korporat yang ingin mengiklan barangan dan perkhidmatan mereka. Di sini, media akan mendapat keuntungan yang besar hasil dari iklan-iklan tersebut. Tidak hairanlah kenapa media begitu ghairah mensensasikan Valentine’s Day.

Peniaga terutama penjual kad dan bunga akan mendapat durian runtuh sempena Valentine’s Day ini. Justeru, mereka mesti mempromosikan Valentine’s Day supaya masyarakat diujakan dengan semangat cinta dan romantik. Pelbagai produk ditawarkan kepada pelanggan bagi merealisasikan rasa cinta dan kasih sesama pasangan yang bercinta. Maka, tidak peliklah kenapa Valentine’s Day menjadi lubuk emas kepada peniaga terutama penjual kad, bunga dan cenderahati.

Hotel dan restoran turut sama ingin mengaut keuntungan mempromosikan Valentine’s Day dengan cara menyediakan pakej-pakej seperti Honeymoon Package sempena Valentine’s Day, Candle Light Dinner sempena Valentine’s Day dan bermacam lagi. Paling menakutkan ialah apabila hotel-hotel dengan berbesar hati menerima tempahan bilik yang pastinya bilangannya berganda berbanding hari lain. Untuk tujuan apa? Saya rasa ramai sudah maklum… Maka tidak peliklah kenapa hotel dan restoran berlumba-lumba mempromosikan Valentine’s Day. Mereka beroleh keuntungan yang berganda.

Pihak Event Management juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Pastinya Valentine’s Day boleh dijadikan sumber pendapatan yang besar buat mereka. Maka, dianjurkan pelbagai program dan majlis bersempenanya. Majlis yang macam mana? Tari menari dan sebagainya. Tak lain dan tak bukan, pastinya majlis yang menyemarakkan rasa cinta dan nafsu. Sebab tu tidak pelik jika pihak event management tak mahu Valentine’s Day ini pudar dari masyarakat.

Pembuat filem dan drama akan cuba menghasilkan karya seni berkisarkan cinta. Kisah cinta bermacam segi dicipta bagi menyentuh hati masyarakat untuk menontonnya. Dengan kedatangan Valentine’s Day, pastinya ia sangat sesuai untuk ditayangkan pada masyarakat. Moodnya, mood cinta. Moodnya, mood nafsu. Maka, timbullah berbagai-bagai kisah cinta samada dihasilkan oleh pihak luar atau dalam negara untuk dikaut keuntungan darinya.

Panggung-panggung wayang dan pekedai VCD/DVD sudah semestinya akan menerima tempias yang besar hasil dari penghasilan filem/drama berkisar cinta di musim Valentine’s Day. Justeru, mereka juga akan turut mengambil bahagian dalam mempromosikan Valentine’s Day ini.

Sekolah dan universiti tidak ketinggalan dalam hal ini. Valentine’s Day boleh dijadikan peluang buat mereka untuk menjana pendapatan. Dibuat pelbagai program seperti song dedication, secret admirer card, hadiah dalam bentuk coklat, candies, bunga dan bermacam-macam lagi. Persatuan dan kelab di sekolah dan universiti yang menganjurkan program-program sebegini bakal memperolehi pendapatan yang banyak, kerana sudah semestinya remaja akan menyertainya. Maka, sebab itulah budaya Valentine’s Day ini masih berterusan di sekolah dan universiti disebabkan oleh ada pihak yang boleh buat keuntungan. Keuntungan yang banyak.

Gerakan Freemason/Illuminati yang dikatakan menjadi dalang kepada eksploitasi unsur-unsur seks, wanita dan hiburan di seluruh dunia sejak dahulu lagi pastinya mempunyai peranan dalam merosakkan manusia melalui penganjuran pelbagai program secara global. Ini memang kerja mereka. Dan mereka mendapat keuntungan yang besar darinya. Malah ia menjadi perjuangan mereka.

Dan lain-lain lagi…

Teguran demi teguran telah dilakukan supaya ummat ISLAM tidak terjebak dengan Valentine’s Day ini. Namun, disebabkan oleh lemahnya masyarakat muslim menepis godaan, maka mereka turut terhasut dek pihak yang menaja pelbagai program sempena Valentine’s Day ini.

Disebabkan oleh Malaysia didiami oleh masyarakat majmuk, jadi penghapusan total Valentine’s Day memang sukar dilakukan. Kerana masyarakat bukan ISLAM perlu dihormati haknya untuk menyambut perayaan yang mereka rasa berkaitan dengan agama mereka. Malangnya, ini menempias ke dalam ummat ISLAM akibat terpengaruh dengan keseronokan dan semangat muhibbah, konon.

Jahil dan lalai di kalangan sebahagian ummat ISLAM dengan tujuan sebenar insan diciptakan adalah faktor utama! Tujuan sebenar dijadikan manusia adalah untuk beribadah kepadaNYA. Insan yang jahil tentang agama dan lalai dengan nafsunya sendiri pastinya mudah terpesona dengan mana-mana ajakan pun. Bukan sahaja dalam hal Valentine’s Day ini, dalam apa-apa hal pun…

Jika diamati senarai di atas, maka tidak peliklah kenapa Valentine’s Day begitu disensasikan. Kerana banyak pihak yang boleh buat keuntungan.

Sepatutnya ummat ISLAM mencegah diri mereka dari terjebak dengan Valentine’s Day ini. Bukan sahaja ia bercanggah dengan agama ISLAM, malah nilai-nilai murni moral juga turut tercemar apabila masyarakat diajak asyik dengan cinta. Malah ada pihak yang menganjurkan program-program bagi melempiaskan nafsu cinta yang terlarang, astaghfirullah…

Sebahagian mereka ada yang bertujuan komersial semata-mata. Tetapi ada juga yang berniat jahat seperti dinyatakan di point ke-8. Yang menjadi mangsanya adalah ummat ISLAM. Yang dipergunakan adalah ummat ISLAM. Yang rosaknya adalah akhlaq ummat ISLAM.

Sudahlah mendapat dosa menyambutnya, malah dipergunakan pula duit dan maruah kita.

Sedarlah…sedarlah…!- Shahmuzir Nordzahir, muzir.wordpress.com

Tiada ulasan: