Isnin, 6 Februari 2012

Turun padang bukan tanda PRU dekat

KL TODAY



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengingatkan pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain supaya tidak menganggap kekerapan Perdana Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang sebagai membawa mesej pilihan raya semata-mata.Sebaliknya, katanya, ia memberi mesej kepada semua pemimpin dan anggota parti komponen BN supaya meningkatkan usaha membela dan berbakti kepada rakyat akar umbi.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata pemimpin dan anggota BN perlu sentiasa mendampingi rakyat dan mengatasi masalah mereka dan tidak menunggu sehingga pilihan raya umum diumumkan.

“Ini merupakan agenda yang amat penting demi kelangsungan kita selaku parti pemerintah di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Jatidiri Dalam Warisan dan Kepimpinan Masyarakat Progresif, di sini, hari ini.

Beliau turut meminta jentera pilihan raya dalam semua parti komponen BN supaya meningkatkan usaha gerak kerja mereka dan mengelak daripada mengundang sebarang permasalahan sesama mereka.

Beberapa hari lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah menggesa jentera Barisan Nasional (BN) Selangor supaya bekerja dengan lebih keras lagi dan tidak hanya bergantung kepada peningkatan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata berdasarkan analisa keadaan politik semasa, secara umumnya ada peningkatan sokongan secara menyeluruh kepada BN ketika ini berbanding tahun 2008.

Katanya faktor yang menonjol ialah sebahagian besar rakyat Selangor menyanjung kepimpinan Perdana Menteri dan trend ini pada umumnya meningkat, sekaligus menambah keyakinan BN untuk mencapai lebih banyak kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIGB) serta pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina seluruh Selangor di sini.

Tiada ulasan: