Isnin, 20 Februari 2012

Sekolah Tamil: Sivakumar mahu jumpa Presiden MIC

V Sivakumar,

Kebanyakan sekolah-sekolah Tamil di Perak menghadapi masalah. Masalah-masalah ini merangkumi pelbagai aspek yang melibatkan tanah, bangunan, padang, infrastruktur, kekurangan guru dan sebagainya. Terdapat beberapa sekolah yang memerlukan perhatian segera tetapi tidak dipedulikan oleh kerajaan. Ini bermakna kerajaan tidak serius menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah ini. Walaupun perkara ini telah dibawa kepada perhatian kerajaan tetapi pelbagai alasan atau janji kosong diberikan.

Kami telah menubuhkan satu jawatankuasa tindakan sekolah-sekolah Tamil di Perak yang dinamakan sebagai Tamilpalli Thirvukkulu beberapa bulan yang lepas. Jawatankuasa ini terdiri daripada mereka yang sayangkan sekolah Tamil dan berkhidmat secara sukarela untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah itu.

Setakat ini Jawatankuasa ini telah membangkitkan masalah 5 buah sekolah di negeri Perak. Ahli-ahli jawatankuasa juga telah membuat lawatan tapak ke semua 5 sekolah tersebut. Sekolah-sekolah yang dilawat dan laporannya adalah seperti berikut:

SJKT Gunung Rapat

Sekolah ini telah memohon satu tapak baru untuk membina bangunan di kawasan Ampang. Tanah seluas 3 ekar telah dijanjikan oleh Datuk Bandar pada 19 Oktober 2011. Kemudian kerajaan telah mungkir janji dan cuba memberikan tanah yang dijanjikan itu kepada PAFA. Jawatankuasa pernah mengadakan dialog dengan ibubapa dan menganjurkan satu perhimpunan aman mengenai masalah sekolah ini pada 2 Oktober 2012. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menjanjikan peruntukan RM2.5 juta untuk membina bangunan baru di tanah yang dijanjikan oleh Datuk Bandar.

SJKT Menglembu

Sekolah ini telah memohon untuk bangunan baru. Padang sekolah itu sering kali tidak dapat digunakan kerana sentiasa ditakung air terutamanya selepas hujan. Masalah ini telah dibangkitkan berpuluh kali tetapi seolah-olah jatuh di telinga pekak. Jawatankuasa juga telah mengadakan forum dengan ibubapa dan menyerahkan memorandum kepada pihak Jabatan Pelajaran Negeri. Tetapi tidak ada sebarang maklum balas setakat ini.

SJKT Changkat

Sekolah ini tidak mempunyai padang permainan. Permohonan telah dibuat kepada kerajaan negeri untuk memberikan tanah seluas 1.3 ekar dibelakang sekolah itu untuk dijadikan padang permaian. Tetapi, kerajaan menjawab soalan bertulis di Dewan Negeri Perak bahawa tanah itu akan diberikan untuk projek Taska PERMATA, satu projek kerajaan Persekutuan.

SJKT Holyroad

Sekolah ini hanya mempunyai 2 orang murid. Ini adalah kerana penduduk-penduduk estet di kawasan itu telah berpindah ke bandar dan tempat-tempat lain. Jika dibiarkan begitu sahaja sekolah ini akan ditutup bila-bila masa. Kerajaan berjanji untuk tapak ganti dan menggunakan lesen SJKT Holyroad untuk membuka sebuah sekolah baru di Taman Kaya, Taiping. Tetapi, tidak ada sebarang maklum balas mengenai perkara ini daripada mana-mana pihak setelah janji kosong dibuat oleh kerajaan.

SJKT Gopeng

Sekolah ini sedang dimakan anai-anai. Laporan Jabatan Kerja Raja sendiri membuktikan sekolah ini berada dalam keadaan yang buruk. Sebuah bilik darjah telah ditutup. Keadaan sekolah ini membahayakan keselamatan murid-murid. Jawatankuasa ini juga telah berjumpa dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya untuk membincangkan hal ini. Sekolah ini memerlukan satu bangunan baru dua tingkat untuk keperluan masa hadapan, bukan sekadar memperbaiki bahagian yang dimakan anai-anai sahaja.

Berhubung dengan masalah sekolah-sekolah Tamil di atas, satu perjumpaan telah diadakan pada 17 Februari 2012 di Pejabat Pakatan Rakyat Negeri Perak, Medan Istana Ipoh. Mesyuarat itu dihadiri 50 orang yang dijemput khas oleh jawatankuasa Tamilpalli Thiruvukkulu. Para hadirin adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin masyarakat India yang mencintakan bahasa ibunda.

Dalam mesyuarat tersebut masalah kelima-lima sekolah itu telah diberi penerangan secara terperinci oleh V Sivakumar, Adun Kawasan Tronoh. Selepas penerangan itu, sesi dialog juga dibuka kepada para hadirin untuk memberi pandangan dan komen mereka berhubung dengan masalah sekolah-sekolah Tamil di Perak. Para hadirin telah berkongsi pendapat mereka untuk memberi galakan, sokongan dan dokongan kepada Jawatankuasa Tamilpalii Thiruvukkulu.

Di akhir mesyuarat itu, satu resolusi telah diluluskan secara sebulut suara. Resolusi itu berbunyi seperti berikut:

‘Masalah kelima-lima sekolah itu perlu diberi perhatian segera. Oleh itu, satu memorandum akan diserahkan kepada Presiden MIC, Datuk Seri Palanivellu dalam tempoh terdekat. Beliau telah mengambil alih pucuk pimpinan MIC negeri Perak. Ini adalah cabaran pertama kepada beliau untuk menyelesaikan masalah-masalah yang diutarakan jika kerajaan benar-benar serius dalam menangani masalah sekolah-sekolah Tamil. Penyelesaian harus dilakukan sebelum PRU13, bukan sekadar janji kosong pilihanraya’

Saya bagi pihak jawatankuasa ini akan menulis surat kepada Presiden MIC untuk mengadakan temujanji dan majlis penyerah memorandum secepat yang mungkin. Saya dan pihak jawatankuasa berharap Datuk Seri Palanivel akan bertemu dengan kami untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil di negeri Perak.

Tiada ulasan: