Selasa, 14 Februari 2012

Rumah mampu milik pertama Selangor siap September

Harakahdaily,


SHAH ALAM: Rakyat negeri Selangor boleh menarik nafas lega apabila sejumlah 136 unit Rumah Mampu Milik (RMM) pertama di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat negeri itu dijangka siap September ini.

Projek yang terdiri daripada dua blok pangsapuri lima tingkat itu terletak di Sg. Long, Kajang.

Keluasan setiap satu unit pula adalah di antara 830 hingga 870 kaki persegi di mana ia akan dijual dengan harga tidak lebih dari RM89,000 setiap satu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, projek itu bertetapatan dengan keputusan kerajaan negeri yang membenarkan pemaju swasta membina RMM bagi menggantikan Rumah Kos Rendah (RKR) di kawasan-kawasan di mana tiada permintaan untuk RKR atau tidak sesuai untuk RKR.

"Polisi ini adalah bagi memberi peluang membeli rumah kepada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan isi rumah di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya yang melawat tapak projek berkenaan 10 Februari lalu, kemajuan projek yang dibangunkan sejak Jun tahun lalu oleh syarikat pemaju swasta itu sudah 55 peratus siap dan dijadual siap sepenuhnya September ini.

Tambahnya lagi, keputusan Kerajaan Negeri untuk melibatkan pemaju swasta adalah tepat kerana permintaan RMM di Selangor adalah terlalu tinggi dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan dapat menyiapkan jumlah RMM yang secukupnya untuk menepati sasaran yang ditetapkan.

"Contohnya RMM oleh PKNS di Bandar Bangi Bangi yang mula dibina pada bulan Jun lepas telah hanya siap kerja-kerja cerucuk (piling).

"Tetapi kerja membina dinding batu-bata (bricklaying) telah hampir siap bagi projek pemaju swasta di Sg. Long yang dimulakan juga pada bulan Jun tahun lepas," katanya lagi.

Selain di Sg. Long, pemaju-pemaju swasta juga ujarnya telah diberikan kebenaran membina RMM di beberapa kawasan lain seperti di Seksyen U10, Shah Alam di mana 536 unit akan dibina.

"Adalah diharapkan gandingan di antara PKNS dan pemaju-pemaju swasta akan dapat menyediakan jumlah RMM yang secukupnya di Selangor," katanya.

Tiada ulasan: