Oleh Fairuz Azhan
“Percayalah saya” – satu “perutusan” Datuk Seri Najib Razak sempena Thaipusam di Batu Caves Selasa lalu jelas memberi satu lagi petanda kebimbangan Barisan Nasional untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Isi penting ucapan Najib yang ditayangkan oleh TV3 pada malam tersebut adalah, “awak tolong saya, saya tolong awak”. Kalau dulu, Perdana Menteri menawarkan perkara yang sama kepada kaum Cina, kini sasarannya kaum India pula.
Kita tidak tahu sama ada itu berbaur ugutan dari seorang pemimpin atau pun seorang pemimpin lemah yang cuba mengemis sokongan. Apa-apa hal pun, yang jelas adalah fakta bahawa tertimbulannya dua persoalan.
Yang pertama, perlukah masyarakat India menagih ehsan daripada seorang Perdana Menteri agar menerima ‘pertolongan’ tersebut? Dan yang kedua, bukankah tugas seorang Perdana Menteri memberi khidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira latar belakang mereka?
Sudahlah orang Melayu sudah ditanam dengan mentaliti pencacai di bawah UMNO, kini masyarakat India secara terang-terangan ditawarkan yang sama.
Mesej Najib adalah: jika masyarakat India mahukan pertolongan dan pembelaan daripada BN, maka mereka terpaksa mengundi BN dalam PRU akan datang. Jika tidak, masyarakat India tidak akan mendapat bantuan.
Jelas, ia lebih bersifat ugutan daripada rayuan. Dan nampak pula keangkuhannya kerana terlalu yakin bahawa UMNO-BN akan terus kekal berkuasa.
Selama lebih setengah abad, orang Melayu ditekan dan dibasuh pemikiran agar menerima mentaliti bergantung kepada UMNO. Kini Najib cuba memperluaskannya kepada masyarakat India (setelah masyarakat Cina memandang sepi tawaran/ugutan tolong-menolong ini).
Tuntutan sebenar rakyat
Apa yang dituntut oleh rakyat jelata adalah pemerkasaan, pengiktirafan, dan penghormatan. Rakyat tidak mahu lagi demokrasi terpimpin – amalan di mana hanya UMNO-BN yang lebih tahu apa yang baik untuk rakyat jelata yang dianggap sebagai kurang cerdik.
Sebenarnya, ugutan politik ini bukanlah perkara baru bagi UMNO-BN yang memang tidak ikhlas membela rakyat dan hanya mengutamakan panglima-panglima dalam parti.
Apa sudah jadi dengan royalti minyak di Kelantan di bawah perjanjian kerajaan negeri Kelantan dan Petronas? Terengganu yang suatu waktu dahulu menerima royalty minyak, kini hanya mampu bersyukur dengan ‘wang ehsan’.
Semuanya berlaku kerana rakyat di negeri-negeri tersebut telah memilih PAS. Malah apabila Terengganu dimenangi semula oleh BN, peruntukan royalti minyak tidak dikembalikan.
Amalan ugutan dan merampas hak rakyat atas politik kepartian dan perkauman sememangnya merugikan masyarakat.
Yang pertama, ia merupakan kezaliman kerana menafikan hak rakyat. Yang kedua, ia memencilkan tanggapan dan minda masyarakat tentang peranan mereka yang sepatutnya dalam konteks dinamika politik. Yang ketiga ia hanya mencipta pencacai-pencacai yang tidak mandiri dan percaya mereka adalah hamba kepada kerajaan.
Rakyat berhak mendapat, bukan meminta ehsan daripada kerajaan. Pembelaan kerajaan terhadap setiap warga negara merupakan tanggungjawab dan bukannya keistimewaan. Keangkuhan dan cengkaman kuasa terhadap institusi yang sepatutnya bebas merupakan antara sebab mengapa kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat ini tidak diambil tindakan.
Rakyat hilang sabar
Tetapi seperti mana lumrah dan lazim seorang manusia, semakin lama maka semakin cerdiklah seseorang itu. Disuburkan pula dengan kematangan melalui pengalaman hidup, seseorang dapat belajar.
Kini Malaysia dan rakyatnya yang berbilang bangsa sudah lebih pandai dan lebih matang untuk menilai bahawa amalan-amalan politik perkauman tidak lagi mempunyai tempat di negara ini.
Rakyat sedar bahawa mereka tidak perlu takut kepada kerajaan tetapi kerajaan yang harus takut pada rakyatnya. Rakyat sudah hilang sabar dengan politik zalim yang menjadi amalan UMNO-BN.
Apa yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat jelas lebih baik daripada yang sedia ada. Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak perlu melakuan ugutan politik. Mereka tidak merampas hak rakyat atas pemikiran kolot dan sempit kepartian, malah mereka mengajak rakyat memperkasakan diri mereka bukan menjadi pencacai.
Kerajaan bersih rakyat senang
Di negeri-negeri Pakatan Rakyat, jelas mengamalkan tender terbuka. Tidak perlu menjadi pencacai politik mana-mana pihak. Melayu tidak perlu pengaruh UMNO, Cina tidak perlu menjadi pencacai MCA, India tidak perlu tunduk kepada MIC.
Yang layak tetap mendapat hak. Yang kurang kemampuan diberi bantuan. Tidak perlu kabel politik. Tidak perlu tawar rasuah. Dan pentadbiran perlahan-lahan menjadi semakin bersih dan adil.
Jika sebuah kerajaan boleh mentadbir dengan baik, maka peluang-peluang tersebut akan dicipta dan kemakmuran dapat dirasai semua tanpa mengira latar belakang politik atau warna kulit kita. Contohnya di Pulau Pinang di mana sesiapa sahaja boleh bersaing untuk mendapat tender-tender kerajaan negeri yang terbuka. Maka dengan jelas polisi seperti ini mencipta dan mendatangkan kemakmuran kepada negeri dan kemakmuran itu diagihkan kepada rakyat negeri sehingga terhapusnya kemiskinan tegar di negeri tersebut.
Kata-kata “awak tolong saya, saya tolong awak” hanya memberi gambaran kerendahan akhlak politik. Pemimpin yang adil lagi bersih dalam menjalankan tanggungjawab akan berkata, “saya akan tolong awak walau apa pun keadaannya kerana itu adalah tanggungjawab saya”. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan