Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Nor Fariza Ramlan
KUALA LUMPUR: Belum ada lagi kajian dilakukan menunjukkan lintah boleh menyebarkan penyakit kepada manusia melalui rawatan bekam termasuk penyakit batuk kering (tibi).Doktor dan Koordinator Makmal, Unit Kesihatan Haiwan Akuatik, Fakulti Perubatan Vaterinar, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hassan Mohd Daud berkata, kajian klinikal di luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) lintah boleh merawat penyakit seperti migrain serta resdung selain tidak memberi kesan sampingan melalui gigitannya.
“Kajian klinikal mengenai lintah belum dijalankan di negara ini, namun ia giat dilakukan di luar negara dan tiada kajian menunjukkan lintah mendatangkan mudarat kepada manusia, ” katanya, semalam.
Katanya, tidak mungkin lintah mampu menyebarkan penyakit tibi kerana ia hanya boleh berjangkit melalui udara dan kemungkinan lintah menyebarkan bakteria yang ada padanya amat rendah.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha bekam lintah perlu memastikan lintah dikuarantin dan dibersihkan mengikut prosedur yang betul terlebih dulu sebelum digunakan terhadap pesakit.
Katanya, hasil analisis dijalankan terhadap lintah dikuarantin sehingga tiga minggu dengan kawalan suhu dan pH air yang betul menunjukkan hanya bakteria biasa ditemui pada usus dan mulut lintah turut ditemui di tanah dan air.
“Dengan penggunaan bahan tertentu seperti kunyit dan halia, semua bakteria berbahaya terbunuh kerana dua bahan berkenaan mempunyai bahan antiseptik yang mampu membunuh dan merencatkan pertumbuhan bakteria,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan bekam lintah supaya memeriksa terlebih dulu prosedur kebersihan yang diambil pengusaha rawatan berkenaan.
“Pesakit perlu bijak memilih pusat rawatan termasuk mengenal pasti terlebih dulu tahap kebersihan dan kesihatan lintah yang digunakan, ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan