"Kita di jalan raya itu bukan (kerana) kita menolak pilihan raya. Kita ke jalan raya kerana kita hendak pilihan raya. Ini jelas!"
Demikianlah penegasan Hishamuddin Rais (gambar kanan), aktivis sosial yang mendukung demonstrasi jalanan untuk menuntut pendemokrasian. Koleksi tulisan beliau pernah diterbitkan dengan judul "Pilihan raya atau Pilihan jalan raya" ketika zaman "Reformasi", malah beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri 1960 (ISA) selama dua tahun. Beliau yang masih giat terlibat dalam demonstrasi jalanan, diajukan soalan sebagaimana tajuk bukunya, dalam satu forum semalam.
Hishamuddin Rais menjelaskan, padahal kita tidak mempunyai pilihan, melainkan pilihan raya sebagai cara untuk memilih pemimpin. Apapun aliran politik, sama ada sayap kiri, kanan, tengah, Islam atau sebaliknya, akan menyokong pilihan raya, katanya. Bagaimanapun, perbincangan terhadap pemilihan demokratik ini berterusan, berkisar pada sistem pengundiannya, misalnya first-past-the-post dan sebagainya.
"Apa yang dipertikaikan di negara kita ini, pilihan raya di negara kita ini tidak adil!" tegasnya, sebelum menjelaskan bahawa komponen parti Pakatan Rakyat dan parti-parti pembangkang seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebenarnya bukan berlawan dengan UMNO-Barisan Nasional, tetapi polis, askar, special branch, pegawai kerajaan yang mempertahankan UMNO-BN.
"United Malays National Organisation (UMNO) dah lama mampus dah!" kata Hishamuddin Rais, sebelum menambah, "Kalau demokrasi proses, tujuh tahun dah jatuh dah. Dah lama bungkus dah!"
Oleh itu, BERSIH menganjurkan agar gelanggang pilihan raya disamaratakan dengan lapan tuntutan reformasi sistem pilihan raya, katanya. Hishamuddin Rais menekankan bahawa pada saat-saat ini, pilihan raya tidak bersih dan tidak adil. Maka seandainya parti politik bukan BN mengambil bahagian, maknanya mereka akan ditipu. Beliau mengambil contoh bagaimana "Balai Polis Kampung Kerinchi", "Kampung Baru" wujud sebagai nama pengundi dalam senarai daftar pemilih, membuat ramalan pesimis bahawa Pakatan Rakyat mungkin kehilangan kuasa di negeri Selangor - dengan berleluasanya taktik kotor sebegini.
Hishamuddin Rais berkata demikian dalam "Forum Kiri: Kebangkitan Dunia Arab: Apa telah terjadi selepas satu tahun?", anjuran PSM di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam. Selain Hishamuddin Rais, panelisnya termasuklah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Penyelaras Antarabangsa PSM Choo Chon Kai. Bilik auditorium penuh sesak dengan kehadiran kira-kira 150 orang.
Mat Sabu: Jangan balas dendam
Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu ketika diminta mengulas kenyataan Hishamuddin Rais, menambah dengan statistik bahawa terdapat 1.2 juta orang pegawai kerajaan, ditambah dengan kira-kira 250 ribu orang polis dan tentera, membuatkan angkanya kira-kira 1.5 juta. Seandainya dikali tiga dengan ahli keluarganya, maka jumlahnya 4.5 juta. Jikalau BN menguasai 70% daripada 4.5 juta orang pengundi ini, ditambah dengan FELDA, maka ia halangan yang besar buat Pakatan Rakyat dalam pilihan raya, akui Mat Sabu.
Dalam sesi soal-jawab, Timbalan Presiden PAS ini turut diajukan soalan bagaimana untuk mengendali pemimpin-pemimpin dalam bekas regim, sambil diberi contoh bagaimana hukuman seperti pancung kepala dijatuhkan kepada pemimpin bekas regim di luar negeri.
Mat Sabu (gambar kanan) bermula dengan menyatakan bahawa seandainya Pakatan Rakyat berkuasa, Buku Jingga akan dijadikan panduan, dan tidak disebut "potong kepala pemimpin regim lama" dalamnya. Beliau juga mengisahkan pengalaman ketika dirinya mengajukan soalan di majlis ceramah, sama ada hadirin bersetuju untuk menahan Mahathir Mohamad di bawah ISA?
"Semua bersetuju. Bila kita bersetuju, bererti kita mengulangi kezaliman orang lain," katanya, disambut dengan tepukan dari bawah pentas. Mat Sabu berkata, sementara pembangkang mengambil alih kuasa dari pemerintah, pembangkang juga harus bersedia mendidik masyarakat. Mengimbas sejarah, "membalas dendam" kepada regim lama adalah perkara yang berlaku pada 1930-an, 1940-an, namun tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang, menurutnya.
Mat Sabu berkata, "Kita lebih beradab dan kita mesti hidupkan kedaulatan undang-undang. Kebebasan kehakiman mesti menjadi jaminan kita," sebelum beliau mengingatkan, "Jangan ada langsung perasaan untuk membalas dendam!"
Tinggalkan isu yang remeh-temeh
Sebelum mengakhiri ucapan, Hishamuddin Rais menyeru agar satu perikatan dari semua kumpulan dilahirkan, "...Tidak mengira parti politik kiri kanan, dengan satu tujuan untuk menjatuhkan kerajaan United Malays National Organisation. Ini jelas."
Beliau berharap agar perbezaan dikurangkan dan ditanamkan buat ketika ini, sambil mengambil dirinya sebagai contoh, "Saya dengan Pemuda PAS ni saya tak suka sebab saya celebrate Valentine's Day (menyambut Hari Kekasih). Dia tak mengerti Valentine's Day. Tapi untuk itu (menjatuhkan UMNO) saya tinggalkan (perbezaan ini). Kerana kita ada agenda yang lebih fundamental daripada Valentine's Day (tepukan)."
"Kerana itu (menjatuhkan UMNO), Valentine's Day tidak penting. Agenda kita adalah untuk menjatuhkan United Malays National Organisation. Kerana ini kita harus fokus. Yang ni Valentine, anti-konsert, remeh! Ini betul-betul leceh!" katanya, disambut tepukan dan gelak ketawa dari bawah pentas.
Baca: Mat Sabu: Perubahan pemerintahan bukan matlamat akhir perjuangan rakyat
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan