Sabtu, 11 Februari 2012

Gadai akidah: Mufti perlu berani tegur Najib

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR:
Dewan Pemuda PAS Pusat mahu lebih ramai para ulama, mufti dan golongan agamawan tampil menyatakan pandangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hadir ke upacara agama di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam minggu lalu.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohamad Nor berkata, golongan itu perlu berani untuk menyatakan kebenaran seperti yang ditunjukkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang membantah tindakan Najib itu dan menyifatkannya sebagai ‘menggadai akidah’.

"Pemuda PAS melihat keberanian inilah yang perlu ditunjukkan oleh para Mufti di negara ini apabil melihat kemungkaran berlaku di depan mata tanpa mengira siapa pun pelakunya.

"Soal aqidah umat mesti menjadi keutamaan dan para ulama tidak harus berdiam diri apabila melihat aqidah umat rapuh atau runtuh," katanya.

Menurutnya, kehadiran Najib sempena perayaan Thaipusam sememangnya mengundang kegelisahan umat Islam di negara ini.

Meskipun Datuk Seri Najib hadir atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada penganut agama Hindu, disisi Islam katanya perbuatan tersebut tidak wajar dilakukan.

Tambahnya lagi, walaupun agama Islam tidak pernah melarang penganut agama lain merayakan perayaan masing-masing, namun Islam tetap mengharamkan umatnya menyambut perayaan agama lain kerana ia boleh menjejaskan aqidah umat Islam.

"Kehadiran Najib dikhuatiri akan merosakkan aqidah beliau dan umat Islam yang lain memandangkan beliau adalah Perdana Menteri di negara ini, dan tindakan beliau pasti akan diikuti oleh rakyat jelata.

"Perdana Menteri tidak perlu hadir ke Batu Caves hanya untuk mengucapkan selamat menyambut perayaan atau menyerahkan kepada pemimpin MIC untuk mengucapkan selamat menyambutnya," tegasnya.

Langgar syariat demi sokongan

Selain itu Riduan berkata, dewan pemuda PAS melihat Perdana Menteri bertindak demikian kerana amat kemaruk untuk mendapatkan pengaruh dan populariti bagi mengekalkan kuasa beliau sehingga sanggup melanggar syariat dan aqidah.

"DPPM hairan mengapa penasihat agama beliau termasuk Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir tidak tampil lebih awal memberikan nasihat supaya beliau tidak hadir ke Batu Caves bagi mengelakkan kritikan rakyat," soalnya lagi.

Sehubungan itu, mereka meminta lebih ramai para mufti, para ulama dan agamawan di negara ini bersuara bagi menyatakan kebenaran di sebalik isu ini.

Bagi mereka, apa juga pandangan ulama perlu diambil kira biarpun hasilnya pahit untuk ditelan.

"Demi aqidah umat, tiada siapa harus berdiam diri atau menyembunyikan kebenaran," tegasnya.

Tiada ulasan: