Kolum Kesatuan Fikrah adalah wadah untuk rakyat memperlihatkan kepelbagaian idea daripada lapisan-lapisan pemimpin PAS, dari yang veteran ke pemuda dalam isu-isu hangat yang membelungi negara kini.
Mewakili PAS Pusat ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, suara ulama diwakili oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama Pusat, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh manakala suara pemuda diwakili Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Jika anda mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanyakan kepada Abang Mat, Ustaz Tuan dan Ustaz Nasrudin, sila email kepada hdaily.kesatuan.fikrah@gmail.com
Minggu ini, mereka berempat berbicara dengan soalan berikut:
Bagaimana anda melihat PAS 10 tahun dari sekarang? Apakah perkara terpenting yang perlu dilakukan PAS sekarang utk mencapai matlamat itu?
Mohamad Sabu
PAS mesti menonjolkan “good governance” dalam masa 10 tahun akan datang. Para pemimpin PAS dan pentadbirannya harus berubah ke arah yang lebih telus, beramanah dan bertanggungjawab serta performance oriented.
Pemimpin-pemimpin PAS yang memegang jawatan awam perlu bersedia dihisbah termasuk pengistiharan harta pemimpin, Menteri, Menteri Besar, Ahli Parlimen, Adun, ahli majlis tempatan dan lain-lain lagi. Pada hal ini, PAS tertinggal berbanding kerajaan Pakatan Rakyat yang lain.
Ramai yang sudah bosan mendengar retorik berbunyi Islam adalah lengkap, Islam adalah jawapan dan penyelesaian kepada masalah sekarang. Dalam 10 tahun ini, PAS kena membawa Islam dari sudut pelaksanaan – seperti elakkan pemimpin keluarga diri sendiri terlibat daripada rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
Dalam 10 tahun ini, PAS mesti berusaha dan memokuskan kepada pelaksanaan untuk melahirkan kerajaan seperti zaman Umar al-Aziz dan Umar al-Khatab. PAS mesti membawa Islam ke paras lebih tinggi melalui pelaksanaan.
Zaman retorik sudah berlalu. Sekiranya bergantung pada character PAS dan kehendak generasi sekarang untuk berubah. Sekiranya PAS dapat melaksanakan yang terbaik ke arah itu, Insha-Allah PAS akan menerajui negara Malaysia ke arah negara yang makmur dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
Sebaliknya, jika kita gagal, kita akan ketinggalan jauh berbanding rakan-rakan kita di Pakatan Rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
PAS akan terus kekal menjadi parti utama di Malaysia menjelang 10 tahun akan datang. InshaAllah. Dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan kebangkitan semula gerakan Islam di seluruh dunia, maka PAS juga dilihat menjadi parti utama untuk masa depan.
Untuk menghadapi situasi tersebut, PAS perlu menyusun gerak kerja membina keyakinan masyarakat dan rakyat negara ini untuk dilihat sebagai sebuah parti yang diyakini mampu membawa perubahan besar kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.
Cabaran besar PAS ialah memecah tembok yang dibina oleh Umno dan BN terhadap parti kita, seolah-olah ianya hanya untuk orang Islam dan tidak sesuai untuk kaum dan agama lain. Situasi ini kini semakin berubah dengan wujudnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
DHPP perlu melebarkan sayap melepasi halangan kaum dan agama bahkan sempadan geografi Semenanjung sahaja. Ia perlu melepasi Laut China Selatan bagi melebarkan sayap ke Sabah dan Serawak.
Keyakinan kepada kemampuan PAS memimpin mesti diterjemahkan kejayaan negeri yang diurus tadbir oleh PAS khususnya seperti Kelantan dan Kedah. Diharap kedua-dua kerajaan PAS tersebut dapat membawa Islam ke tahap lebih tinggi dengan menunjukkan model pentadbiran dan pelaksanaan Islam yang efektif, bermanfaat dan adil kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa. Manakala peranan Ahli Parlimen, ADUN-ADUN dan exco dari PAS juga menjadi model nilaian awam terhadap kemampuan ini.
Oleh itu, PAS wajar memiliki satu master plan jangka panjang dan persiapan segala keperluan ke arah itu. Demikian juga, satu keperluan untuk mewujudkan sebuah pusat latihan pengkaderan kepimpinan parti yang lengkap dan pelan menjana dana yang munasabah juga direalisasikan untuk mencapai hasrat itu.
Azam, tekad, kerja kuat dan bijak dengan berstrategi mampu membuktikan apa yang kita inginkan pada masa hadapan akan berjaya, InshaAllah.
Nasrudin Hasan Tantawi
PAS adalah sebuah parti yang kukuh dengan prinsip perjuangan yang bertunjangkan Islam. Sebagaimana kukuhnya Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt maka begitulah kukuhnya prinsip perjuangan yang dipangku oleh PAS menongkah 1001 macam halangan, rintangan dan cabaran sejak hari tubuhnya.
Meredah masa depan, selama PAS berpegang teguh dengan perjuangan Islam, ia tetap unggul biarpun menggapai usia 100 tahun lagi justeru Islam adalah agama dari Allah swt yang sesuai sepanjang zaman sehinggalah dunia digulung kiamat kelak.
Sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS adalah alternatif untuk menggagas masa depan negara yang sejahtera, menepati sebuah pemerintahan good governence, bebas korupsi dan diredhai oleh Allah swt. Dunia semakin kosong dan gersang tanpa Islam sebagai petunjuk Allah swt. Inilah yang difirmankan oleh Allah swt :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Menyedari harapan ini, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan ummah mesti dipersiapkan agar hadhir dan tampilnya menepati tuntutan semasa. PAS selayaknya mula menguasai polisi ke arah mempersiapkan dirinya untuk menjadi kerajaan yang mengurus tadbir negara, bukan lagi terjerat dalam kelompok pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa solusi yang efektif.
Bermula dengan menyusun saff kepimpinan parti yang terdiri dari kalangan figure mampu dan layak menggalas amanah kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan parti tetapi juga kepimpinan negara. Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah 2 line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi ialah kepimpinan yang mengurus negara. Namun kedua-dua line up kepimpinan berada di dalam satu majlis pemesyuaratan parti.
Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekaligus mampu mendokong aspirasi parti. Parti mesti bijak serta pantas mengurus masaalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan karenah masalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai.
Untuk menuju cabaran 10 tahun akan datang, antara lain PAS perlu menumpukan kepada 2 skim kualiti.
Pertama kualiti pada figure samada anggota atau pemimpin yang mampu serta layak menyandang amanah di mana posisi ia ditugaskan. Bukan figure yang hanya melakar publisiti melalui kepetahan berpidato tetapi lemah dalam tindakan.
Kedua ialah kualiti pada organisasi dan penstrukturannya agar dilihat lebih kemas, sistematik dan menepati piawaian sebuah organisasi moden yang mampu menangani saingan gerakan semasa.
Nik Muhammad Zawawi Salleh
Dalam masa 10 tahun, Insya-Allah, Pas sudah memerintah negara Malaysia dan muncul sebagai sebuah parti diwakili semua kaum dengan konsep negara berkebajikan yang dibawanya. Umno, pula ketika itu sudah tiada kekuatan dan semua ahlinya berpusu-pusu memasuki PAS dan berdakwah untuk Islam.
Untuk mencapai hasrat ini, Pas perlu mempertingkatkan usaha tarbiyyah kepimpinan dan seluruh anggotanya agar memahami dasar dan matlamat perjuangan Islam.
Pas juga mesti membina pelapis kepimpinan yang berorentasikan tarbiyyah mengikut acuan PAS.
Pas juga perlu meningkatkan usaha dalam rangka memantapkan hubungan baik dengan semua kaum, agama dan parti politik lain selain menonjolkan pentadbiran Islam yang sebenar dalam kerajaan yang diterajuinya.Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan