Sabtu, 25 Februari 2012

DAP kesal tentera Amerika bakar Al-Quran

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: DAP kesal dengan kejadian di mana pihak tentera Amerika Syarikat membakar beberapa naskhah Kitab Suci Al-Quran di Afghanistan kerana ia merupakan tindakan penodaan dan penghinaan terhadap agama Islam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan kurang sensitif itu yang melukakan hati umat Islam tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sudah pun segera meminta maaf dan berjanji untuk mengambil langkah bagi mengelakkan pengulangan kejadian ini di samping mahu bertindak ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Menurutnya, langkah Obama merupakan reaksi yang positif daripada pihak Amerika, dan DAP berharap bahawa tindakan susulan akan diambil supaya insiden seperti itu tidak akan berulang.

“Pada masa yang sama, DAP menolak keras penggunaan kekerasan, dan kesal bahawa tindakan balas telah mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya lima pembantah Afghan dan dua askar Amerika.

“Kami menyeru agar semua pihak akan bertenang dan tidak bertindak secara terburu-buru sementara penyiasatan sedang dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai parti yang mendokong prinsip keamanan dan keadilan, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP menekankan keperluan untuk kefahaman dan persaudaraan antara semua orang dalam dunia yang pelbagai budaya dan agama ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: