Negeri-negeri Pakatan Rakyat sememangnya tidak sunyi daripada pelbagai ujian. Ada ujian yang tidak dapat dikawal dan ada ujian yang dapat dikawal tetapi ada yang lebih buruk daripada itu, ialah ujian yang kita sendiri cipta dan ini yang paling sukar. Dalam suasana kerapuhan parti-parti dalam Pakatan Rakyat hari ini, kita tidak mampu untuk berhadapan dengan ujian yang kita cipta sendiri untuk menanggungnya. Terkini ialah ujian bagi sebuah kerajaan PR di Kedah dan ia bukan calang-calang ujian, ia merupakan ujian yang memulakan tahun naga dengan penuh kelicikan dan kebijaksanaan.
Kolej Universiti Insaniah adalah satu-satu IPT di Kedah yang menjadi kebanggaan Menteri Besar Azizan Razak (gambar kiri). Saya tidak terkejut dengan kebanggaan yang menjadi modal politik Azizan kerana sebagai seorang ahli akademik, Azizan sangat memahami betapa kualiti pendidikan akan memberikan satu implikasi politik yang besar kepada kepimpinannya. Tapi buat masa ini harapan besar Azizan terganggu dengan isu tindakan disiplin ke atas lima pelajarnya yang menjadi mangsa tatatertib. Soalannya, apakah Azizan terlalu personal dengan cita-citanya dengan KUIN sehingga isu AUKU dianggap terlalu kecil atau Azizan terlalu marah kerana beberapa pelajar telah menyentak impiannya dan mencabarnya?
Isu ini tidaklah sebesar mana tetapi saya lebih berminat melihat bagaimana Azizan mengendalikannya. Pertama, Azizan telah menunjukkan sikapnya yang sukar dirundingi dengan kenyataannya yang tidak mesra Pakatan. Logik responsnya agak melucukan, katanya, "Buku Jingga bukan Al Quran!" merujuk kepada soalan tindakan KUIN tidak selaras dengan buku jingga yang mahu menggantikan AUKU. Bagi saya, ini kenyataan yang meragukan dari sudut ianya benar tetapi tujuan penghujahannya adalah salah. Dengan mengatakan demikian ia telah secara sendirinya memandang rendah kesepakatan PR sebagai tawaran kepada rakyat.
Kedua, Azizan mengatakan bahawa Kedah tak semestinya ikut Buku Jingga, merujuk kepada tindakan yang bertentangan dengan tawaran Pakatan. Agak pelik seorang yang berstatus MB dari negeri Pakatan mengatakan dia tak perlu ikut Buku Jingga? Ini sememangnya menggambarkan profile Azizan yang cuba membawa pemikirannya sendiri dalam menguruskan kerajaan Pakatan di Kedah. Entahlah sejauhmana kebenaran pandangan orang ramai terhadap Azizan yang dianggap ada mimpi lain dari mimpi Pakatan?
Ketiga, walaupun jawapan Azizan tentang tindakan ke atas lima pelajar KUIN secara objektifnya dijawab lewat namun Azizan telah memberi peluru kepada musuh Pakatan untuk menyerang betapa inkonsistennya Pakatan dari sudut tawaran dan praktiknya. Diburukkan lagi isu ini dibawa ke mahkamah seolah-olah Azizan gagal mencari jalan penyelesaian yang lebih berhikmah walaupun menurut Azizan, pelajar yang mengheret isu ini ke mahkamah. Bayangkan seorang MB diheret oleh pelajar di bawah kerajaan negerinya semata-mata tidak ada jalan rundingan. Siapa yang akan dilihat tidak matang dalam menyelesaikan masalah ini? Anda sendiri yang menentukannya.
Keempat, isu pemecatan pelajar KUIN dikaitkan dengan penggunaan AUKU yang penuh kontraversi. Ini adalah kerana semua MP PR berdebat dalam Dewan menentang AUKU, asasnya ialah ia menyekat pelajar IPT dari terdedah kepada makna politik yang luas sehingga usaha advokasi terbantut. Begitu juga tentang undang-undang yang dikawal ketat oleh kuasa HEP yang besar sehingga aktiviti pelajar dibatasi. Dengan kata lain AUKU menutup perundingan yang lebih matang dan pelajar dilihat menjadi mangsa kepada kehendak pentadbiran.
Azizan cuba mententeramkan keadaan bahawa tindakan ke atas pelajar KUIN adalah tindakan tatatertib kerana melanggar keputusan KUIN. Tidak kira apa peruntukan yang digunakan samada untuk IPT atau IPTS, persepsi awam terhadap inkonsistennya PR melaungkan hak pelajar menjadi semakin jelas dan ini bukanlah berita baik untuk PR yang memerlukan keyakinan rakyat untuk PRU akan datang.
Bola berada di tangan Azizan sebenarnya untuk membentuk persepsi yang baik, bukankah Azizan seorang ahli politik yang bijak membaca keadaan? Ataukah Azizan mempunyai egonya sendiri sehingga gagal melihat kepentingan PR yang lebih besar?
Jarum jam sedang bergerak sambil kita semua membuat kiraan pada tarikh PRU ke 13. Masing-masing dari BN dan PR mengeluarkan peluru menyerang antara satu sama lain. Kadang-kadang lawannya membiarkan musuhnya sehingga habis peluru, barulah ia akan menyerang. Atau membiarkan musuhnya menyerang untuk mengalih pandangan? Apakah Azizan menggunakan taktik untuk membiarkan musuhnya menyerangnya sehingga habis peluru ataukah Azizan mahu musuhnya lalai? Bagaimana penyokong PR menerima situasi di Kedah hari ini dan yang lebih penting ialah adakah pengundi atas pagar akan terkesan?
Saya yakin Azizan tidak semudah yang dijangka oleh sesetengah orang kerana dia terkenal dengan ketajaman politiknya, pasti Azizan sedang membuat percaturan tertentu dan pastinya pertembungan Azizan vs Mahasiswa yang tidak berpuas hati tidak dapat dielakkan lagi. Mungkin mahasiwa ini mahu mengatakan kepada Azizan "jumpa anda di mahkamah!"
*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.
Sabtu, 4 Februari 2012
Azizan vs Mahasiswa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan