Khamis, 29 September 2011

Perubahan Diana elak dosa


AKAN lebih selektif dalam memilih watak.

TIADA siapa yang meminta Diana atau Nurdiyana Amir, 25, bertudung. Apa yang dilakukannya adalah atas kesedaran sendiri untuk berubah.

Kata pemegang watak Sam dalam filem 3, 2, 1 Cinta, sepatutnya, sudah lama dia melakukan perubahan yang menjurus ke arah kebaikan.

Menurut anak keempat daripada tujuh orang adik beradik itu, niat untuk memakai tudung sudah lama terpendam di hatinya namun dia belum yakin untuk melaksanakannya.

“Pada tahun lalu sewaktu penggambaran drama Ku Sangka Dua Rupanya Tiga dan ketika berlakon dalam filem Tujuh Petala Cinta, watak yang saya dukung menghendaki saya memakai tudung.

“Pada waktu itu, hati terasa hendak terus memakai tudung tetapi dalam masa yang sama, saya tidak bersedia kerana jiwa berkobar-kobar mahu berlakon. Maklumlah banyak watak yang belum pernah saya bawa.

“Namun, semuanya berubah apabila akhir-akhir ini, saya sering terasa seolah-olah hari kiamat sudah dekat.

“Apabila saya nilai diri, banyak tuntutan agama yang tidak saya penuhi. Saya takut dan sangat insaf akan kekurangan diri selama ini,” akuinya.

Namun kata Diana, perkara utama yang membuatkan dia nekad untuk berubah adalah bagi mengelak bapanya, Amir Hashim, 54, daripada terus menanggung dosa kerana kedegilannya yang tidak mahu menutup aurat.

“Kasihan pada abah, selagi saya belum berkahwin, dia perlu memikul dosa saya yang tidak menutup aurat kerana seolah-olah abah tidak pandai mendidik anak pula.

“Pada hal sudah lama abah dan umi menyuruh saya menutup aurat. Alhamdulillah, ini semua berkat doa mereka,” katanya terharu.

Kata Diana, hatinya terus tekad untuk bertudung dan bukan kerana mengikut fesyen. Diana yang ditemui di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya baru-baru ini berkata, selain itu, pengalaman rakannya yang terlebih dahulu bertudung membuatkan dia juga ingin mengikut jejak langkah sahabatnya itu.

Di samping itu, nasihat daripada ibu angkatnya yang selama ini tidak jemu-jemu menegurnya, juga adalah pendorong untuk Diana mengubah penampilan.

Meskipun kedua orang tuanya, ibu angkat dan kawan sering menasihatinya agar berubah namun orang pertama yang mengetahui dia bakal bertudung pada 19 September lalu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group, David Teo.

Diana menceritakan, sewaktu memberitahu David mengenai perubahan tersebut, penerbit filem itu terus bertanya adakah dia bertudung kerana sedang bercinta dengan seseorang.

“David ingat saya sedang bercinta sebab itu saya berubah. Walaupun berbeza agama, dia tidak membantah dan menyokong tindakan saya kerana perubahan saya berpakaian tidak menganggu kontrak.

“Lagipun semua filem yang saya tandatangani dengan MIG sudah selesai penggambaran.

“Setakat ini, David kata tiada masalah dan kelak saya akan ditawarkan watak mengikut kesesuaian saya dan bukan dibuang terus daripada MIG kerana perubahan penampilan,” katanya.

Menurut Diana, setiap apa yang berlaku adalah kehendak Allah dan disebabkan itu, dia yakin walaupun bertudung rezekinya dalam bidang seni tetap ada.

Namun katanya, jika benarlah rezekinya sebagai pelakon tidak panjang, Diana tidak kisah kerana dia masih ada ibu bapa yang akan menanggungnya selain menggunakan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia yang dimilikinya untuk mencari pekerjaan.

“Sekarang ini, saya tidak mahu lagi hanyut dengan duniawi. Saya ingin memperbaiki diri untuk mendekatkan diri dengan Allah. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari.

“Sebab itulah saya banyak bertanya dengan Kak Wardina, Irma Hasmie dan Einaz soalan-soalan berkaitan perubahan yang saya bakal lakukan sebelum bertudung.

“Mereka tidak pernah jemu untuk menjawab sebarang soalan daripada saya dan di waktu yang sama, saya membaca buku-buku agama untuk menambah pengetahuan,” katanya yang juga akan mengikuti usrah.

Diana yang pernah berlakon drama bersiri Sari Maya, Adam Maya, Laila Asyikin dan Jalan Pinang Sebatang berkata, dia tidak menyesal memilih melakukan perubahan.

Pelakon filem V3 (Samseng Jalanan), Aku Masih Dara, Senario Ops Pocot dan Sekali Lagi itu berkata, dia sentiasa berdoa agar Allah mengekalkan perasaan yang dimiliki untuk berubah ke arah kebaikan untuk selama-lamanya.

“Hanya satu saya pinta supaya Allah kuatkan iman saya, agar diri ini tidak berubah daripada melakukan perkara-perkara yang diredaiNya,” mohon Diana.

Dalam pada itu, dia juga memohon jasa baik semua pihak agar tidak lagi menerbitkan gambar-gambarnya yang tidak bertudung kerana dia mahu membuka sejarah baru dalam kehidupannya.

Tiada ulasan: