PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) memohon maaf kepada Sultan Johor ekoran rasa tersinggung baginda tentang kenyataannya namun beliau akan menyaman media kerana memutarbelitkan kenyataannya.
"Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.
"Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.
"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya.
Beliau memberikan reaksi ekoran laporan media yang berkata Sultan Johor tersinggung dengan kenyataan beliau yang berkata Johor tidak selamat.
Mula-mula, beliau dikatakan menyatakan perkataan itu di Australia namun kemudiannya dikatakan menyatakannya di Singapura pula.
Sebelum ini Harakahdaily melaporkan, kenapa media tidak bising cacian yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka terhadap negeri Kelantan.
Dalam laporan media, DYMM Sultan Johor juga bertitah bahawa Baginda tidak mahu diseret ke dalam arena politik.
"Patik bersetuju dengan titah DYMM Sultan Johor," kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.
Beliau merasakan telah disalah lapor oleh media massa yang dikawal oleh Barisan Nasional.
"Saya akan membawa perkara ini ke mahkamah untuk menentukan kebenaran tentang di mana saya membuat ucapan saya, apa yang sebenarnya yang diperkatakan, bagaimana ia dikatakan dan dalam konteks apa kenyataan itu dibuat," katanya.
Setakat ini, katanya, selain daripada pita rakaman yang disiarkan oleh TV3, tidak ada sebarang laporan media tentang apa yang saya katakan di Singapura atau di Australia.
"Saya mempunyai akses untuk pita rakaman wawancara saya dengan Radio Australia. Saya masih sedang mencari pita rakaman tentang apa yang saya katakan di Singapura yang dibuat secara peribadi dalam satu sesi tertutup.
"Saya telah pun mengarahkan peguam-peguam saya untuk memfailkan saman di mahkamah, ke atas semua media massa kawalan BN bermula dengan Bernama," kata beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan