Abdul Aziz Mustafa
|
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar inflasi dan kenaikan harga barang di negara ini diakibatkan pemberian lesen-lesen monopoli kepada kroni-kroni Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Lesen-lesen monopoli seperti beras, gula, permit import (AP) kereta, konsesi tol lebuhraya dan lain-lain diberikan kepada kroni-kroni Umno dan BN. "Penyalahgunaan kuasa Umno dan BN seperti itulah yang menjadi antara penyumbang utama kenaikan harga barang dan inflasi di negara ini," kata beliau. Menurut Mahfuz, bila tidak ada persaingan sihat dan monopoli dijadikan bermaharajalela oleh kerajaan Umno, harga dinaikkan tanpa mempedulikan kesusahan pengguna. "Sebab itulah kesedaran rakyat perlu digerakkan supaya tertanam di hati mereka bahawa inflasi yang sedang melanda negara ini adalah inflasi Barisan Nasional atau inflasi BN kerana inflasi negara ini adalah inflasi angkara BN, barang naik angkara BN," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Beliau menyifatkan adalah karut jika kerajaan BN menyalahkan kenaikan harga makanan sedunia semata-mata sebagai punca kenaikan harga makanan di negara ini. "Pertama, kenaikan harga makanan di negara ini berkali ganda lebih tinggi dari kenaikan harga di peringkat global seperti yang dibuktikan oleh angka-angka Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Bangsa-bangsa Bersatu (FAO). "Kedua, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia telah menjangkakan perkara itu sejak dua tiga tahun yang lalu dan sudah cukup amaran yang diberikan, mengapa kerajaan Umno BN tidak mengambil langkah pembaikan yang sewajarnya?" Mahfuz mempersoalkan. Malah, katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilanda sindrom syok sendiri. "Perkara itu terbukti apabila langkah-langkah kerajaan bukan untuk menjadikan Malaysia bebas daripada menjadi pengimport makanan, malah wang negara dikikis habis kepada projek-projek mega yang menguntungkan kroni seperti Menara Warisan, 1Malaysia Development, MRT dan sebagainya," katanya. Beliau mengulangi komitmen untuk memastikan Kelab Protes Barang Naik atau ringkasnya Protes BN yang digerakkan oleh Lajnah Pengguna PAS yang diterajuinya akan melipatgandakan penerangan kepada rakyat. "Kita mahu rakyat sedar punca berlakunya kenaikan harga barangan ini disebabkan kelemahan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN. "Perkara ini boleh dielak jika tiada keborosan, tiada ketirisan, tiada salah keutamaan dan tiada amalan rasuah dalam pentadbiran negara," kata Mahfuz. |
Ahad, 28 Ogos 2011
Lesen monopoli kepada kroni BN punca inflasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan