MALAYSIA KINI
Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dijangka akan menggantikan adiknya Datuk Seri Sulaiman Taib bagi kerusi parlimen Kota Samarahan pada pilihan raya umum akan datang.
"Ya, saya memang berminat dalam bidang politik tetapi Ketua Menteri belum memberikan apa-apa isyarat kepada saya setakat ini," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri anjuran Taib di Pusat Persidangan Borneo di Kuching.
Ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk menyahut cabaran sedemikian, Mahmud berkata, beliau sudahpun menganggotai PPB cawangan Kuching sejak berumur 19 tahun.
Minggu lalu, naib presiden kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata Sulaiman merupakan antara anggota parlimen yang tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Taib yang ditanya pemberita pada majlis itu berkata BN negeri akan melakukan yang terbaik pada pilihan raya itu.
Menurut beliau, jentera pilihan raya BN bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa memandangkan ia baru sahaja menghadapi pilihan raya negeri pada 16 April tahun ini.
Pada pilihan raya umum 2008 yang hanya melibatkan kawasan parlimen di Sarawak, BN negeri memenangi 30 daripada 31 kerusi.
Bagaimanapun, jumlah itu berkurangan kepada 29 ketika ini apabila Richard Wong Ho Leng daripada DAP memenangi kerusi parlimen Sibu dalam satu pilihan raya kecil tahun lalu. Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan