KUALA LUMPUR — Trio Datuk T hari ini menegaskan walaupun dijatuhkan hukuman kerana menayangkan bahan lucah, namun mereka menyifatkan ia “satu kejayaan” apabila dapat menyampaikan kepada rakyat identiti sebenar Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketiga-tiga Datuk T diijatuhkan didenda RM5,500 atas kesalahan menayangkan rakaman video seks yang si pelakunya didakwa mirip Anwar.
Ketika prosiding pagi tadi, kesemua mereka iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong kes yang merupakan satu hipokrasi, walaupun saya tidak berapa gembira dengan hukuman (dikenakan), tapi demi rakyat kami sedia berkorban.
“Hipokrasi yang berlaku ini harus dihapuskan dan kami yakin Anwar Ibrahim sebagai orang dalam video seks itu dan telah melakukan kemaksiatan,” kata Abdul Rahim pada sidang media ringkas di pekarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Jalan Duta di sini.
Tegas beliau, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat Majistret Aizatul Akmal Maharani sambil menegaskan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.
“Anwar Ibrahim yang melakukan hipokrasi ini tidak layak untuk menjadi perdana menteri dan kami berharap selepas ini, rakyat dapat menghakimi perkara yang sebenar.
“Tiada lagi kenyataan mirip-mirip Anwar... yang ada hanya Anwar Ibrahim,” katanya.
Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, telah menafikan bahawa beliau adalah si pelaku dalam rakaman video seks itu selain telah membuat laporan polis.
Selain itu, Shazryl juga telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan dakwaan yang dibuat itu adalah benar dan Anwar adalah pelaku dalam rakaman video seks itu.
Polis juga telah mengesahkan rakaman video seks itu adalah tulen dan sahih.
Datuk T telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontonkan rakaman video seks itu kepada media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.
Shazryl dan Shuib didakwa secara bersama menayangkan bahan lucah secara terbuka di hotel Carcosa Seri Negara.
Sementara Abdul Rahim pula secara berasingan didakwa bersubahat dengan Shazryl dan Shuib.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 pagi dan 12 tengah hari, 21 Mac lalu.
Tegas Abdul Rahim, beliau berharap rakyat dapat menilai wajah sebenar Anwar dan membuat keputusan tepat pada pilihan raya ke-13 akan datang.
“Demi masa depan negara, kami sanggup berkorban, kami harap rakyat prihatin untuk lihat bahawa negara tidak boleh dipimpin oleh mereka yang korup.
“Kami berkorban demi rakyat tapi apa yang penting objektif dan misi kami untuk beritahu rakyat berjaya.
“Kami mahu rakyat nilai terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13,” katanya.
Shazryl dan Shuib bagaimanapun tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Kesemua mereka dikawal ketat ketika meninggalkan mahkamah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan