KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak akan mengeluarkan senarai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meskipun banyak pihak mendesak agar dibuat demikian, kata Datuk Seri Nazri Aziz hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata bukan dasar kerajaan untuk mengeluarkan senarai penerima, malah tiada jaminan bahawa isu berkaitan akan selesai dengan mengeluarkan senarai nama penerima.
“Bukan dasar kerajaan mengeluarkan nama mereka yang berjaya memperoleh biasiswa (JPA),” kata Nazri (gambar) ketika menjawab soalan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) di Dewan Rakyat hari ini.
Fong berpendapat bahawa pendedahan senarai penerima biasiswa JPA akan mengelakkan kekeliruan berhubung polemik mengenai isu yang muncul hampir setiap tahun itu.
JPA telah menawarkan 1,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara dan 2,500 biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Nazri berkata seramai 882 pelajar Bumiputera dan 618 pelajar bukan Bumiputera mendapat biasiswa di bawah Program Ijazah Luar Negara.
Seramai 1,301 pelajar Bumiputera dan 1,199 pelajar bukan Bumiputera mendapat biasiswa di bawah Program Ijazah Dalam Negara tahun ini, kata beliau.
Nazri berkata, peruntukan 10 peratus tempat bagi kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak masih dikekalkan dan terdapat 75 pelajar Sabah telah ditawarkan penajaan ke luar negara di bawah kategori itu.
Dalam pada itu, Bernama Online memetik Nazri berkata, antara faktor yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang tidak berjaya ditawarkan penajaan ke luar negara adalah kerana bilangan pelajar cemerlang yang semakin bertambah dan penajaan yang terhad mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
“Ramai juga pelajar cemerlang memilih bidang yang popular seperti perubatan dan kejuruteraan berbanding bidang yang kurang dipohon seperti sastera dan sains turut menyebabkan mereka gagal ditawarkan penajaan ke luar negara kerana ia mengikut keperluan guna tenaga sektor awam dan negara,” katanya.
Menteri berkata JPA akan sentiasa mengkaji semula dan menambah baik dasar sedia ada untuk pelaksanaan pada tahun akan datang bagi menangani isu pemberian biasiswa ini yang bangkit setiap tahun.
Nazri juga berkata, kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas pegawai JPA berhubung isu pelaksanaan pemberian biasiswa kerana tiada sebarang bukti kukuh berlakunya kesilapan oleh mereka.
Nazri juga berkata, tiada elemen salah guna kuasa oleh pegawai JPA dalam menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang memandangkan pelaksanaannya telah dijalankan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Kabinet pada 14 Januari lalu.
“Adalah juga menjadi dasar kerajaan untuk tidak mendedahkan senarai penerima biasiswa dan markah merit yang mereka peroleh kepada umum untuk memelihara kerahsiaan dan hak individu tersebut,” kata beliau ketika menjawab soalan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).
Nancy mengemukakan soalan mengenai punca utama masih wujudnya masalah pemberian biasiswa dan tempat di universiti di kalangan pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan SPM.
“Terdapat juga kekeliruan di kalangan masyarakat yang menyangka bahawa JPA turut menawarkan tempat atau kursus pengajian di samping penajaan.
“Pada hakikatnya, JPA hanya menawarkan penajaan manakala tempat atau kursus bagi pengajian di matrikulasi dan universiti dalam negara ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi,” kata beliau dalam laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan