Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti ekoran keuntungan besar yang diperolehi. Sehubungan itu, ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang berjaya melonjakkan hasil pendapatan syarikat itu sebanyak 14.4 peratus iaitu kenaikan dari RM210.8 bilion tahun sebelumnya kepada RM241.2 bilion bagi tahun lepas yang berakhir 31 Mac baru-baru ini. Petronas berjaya mencatatkan keuntungan kasar sebanyak RM97.8 bilion dan keuntungan bersihnya meningkat kepada RM63.01 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 38.5 peratus berbanding RM45.49 bilion yang diraih pada tahun 2009. “DPPP yakin, hasil ini diperolehi dengan kerja kuat dan keberanian pengurusan Petronas meneroka sumber-sumber baru didalam dan luar negara di samping pengurusannya yang lebih efisien berbanding GLC kerajaan lainnya yang kebanyakkannya gagal memberikan pulangan kepada negara,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Katanya, antara kelainan Petronas yang dapat dilihat berbanding GLC lain adalah penglibatan lebih ramai anak-anak muda yang diberikan peluang menyertai syarikat ini dan kesungguhan mereka untuk belajar lebih cepat di dalam industri petroleum. Menurutnya, Petronas berjaya membuktikan bahawa anak-anak Melayu mampu ke depan sebagai kumpulan profesional dan berdaya saing. Beliau turut mengucap tahniah kepada anak-anak muda Petronas bermula dari mereka yang bekerja di pelantar hinggalah ke menara KLCC yang telah membawa banyak perubahan kepada syarikat gergasi negara ini. Petronas turut mengumumkan pemberian dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun, ujarnya DPPP berharap agar Petronas tidak terikat dengan jumlah itu kerana sepatutnya kadar dividen yang disalurkan itu dikira berdasarkan nisbah peratus keuntungan bukan secara tetap RM30 bilion setahun. Katanya, kerajaan harus menerima hakikat bahawa graf keuntungan Petronas ada masa turun naiknya, jadi perlulah pengkadaran nisbah peratus keuntungan dibuat bagi setiap dividen tahunan yang ingin disalurkan kepada kerajaan bagi memastikan syarikat berkenaan dapat beroperasi dengan dana yang mencukupi. Tambahnya, DPPP juga berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak melupakan hak Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk menerima royalti. “Setiap tahun Kerajaan Persekutuan menerima RM30 bilion sedangkan rakyat kedua-dua negeri ini hanya mampu membaca dan mendengar data-data keuntungan ini diungkapkan tanpa merasai sesen pun hasil dari perut bumi mereka. “Adalah tidak adil jika RM30 bilion dibolot semuanya oleh Kerajaan BN sedangkan sumber hasil itu adalah dari Kelantan dan Terengganu juga,” ujarnya. Beliau berkata, DPPP juga yakin jumlah keuntungan Petronas ini dapat ditingkatkan melebihi RM100 bilion jika pendaratan minyak Kelantan dibuat dinegeri itu dan bukannya melalui negara Thailand yang menyebabkan Petronas terpaksa membayar sejumlah royalti kepada negara berkenaan. Katanya, begitulah nasib Kelantan dan Petronas akibat dari hasad dengki pemimpin politik dalam BN yang kecewa kerana masih gagal merampas negeri berkenaan kerana dendam politik, wang negara dibazirkan. “DPPP berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempergunakan hasil dividen itu untuk kepentingan rakyat dan menstabilkan harga minyak di pasaran bagi mengelakkan kenaikan harga barang-barang pengguna yang lain,” ujarnya. Tambahnya, tiada sebab harga minyak perlu dinaikkan lagi kerana keuntungan yang diperolehi terus meningkat. Ini, katanya menandakan bahawa tiadanya bebanan kos di luar kemampuan dan pihak Kerajaan masih mampu menstabilkan harga minyak. Malah, ujarnya jumlah dividen RM30 bilion Petronas itu belum dicampur lagi dengan cukai yang dikenakan kerajaan kepada syarikat ini dan syarikat minyak lain seperti Shell, Caltex, BP dan Exxon Mobil. “Kepada pihak pengurusan Petronas DPPP mendesak agar bonus yang berpatutan diberikan kepada kakitangan mereka yang telah bertungkus lumus khususnya di pelantar dan di loji-loji,” katanya. Di samping itu, DPPP juga berharap agar Petronas turut mempeluaskan penajaan mereka bagi aktiviti sukan dan kemasyarakatan dalam negara. “Jika mereka boleh melabur dan menaja jutaan ringgit bagi pasukan Formula 1, maka bukanlah perkara yang sukar untuk mereka melabur dan menyumbang lebih banyak bagi aktiviti masyarakat dalam negara. “Semoga Petronas dapat terus mengekalkan prestasi dan budaya kerja mereka agar dapat menjadi model kepada syarikat-syarikat tempatan lainnya,” ujarnya lagi. |
Khamis, 9 Jun 2011
Petronas untung RM97.8b, jangan lupa royalti Kelantan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan