Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM13 juta untuk pembangunan pemakanan di negeri ini, dan antara peruntukan tersebut adalah untuk pemulihan tanah terbiar sebanyak RM20 ribu bagi setiap projek.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Amiruddin Hamzah berkata, peruntukan RM20 ribu tersebut akan dipecahkan kepada dua bahagian iaitu 70 peratus untuk pemulihan infrastruktur seperti membaiki jalan, pembinaan sistem perparitan dan lain-lain, dan 30 peratus lagi adalah untuk benih, baja serta racun dan peruntukan ini hanya untuk projek pertama sahaja tidak termasuk projek yang seterusnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Kempen Satu Rumah 10 Pokok Buah-Buahan di Pendang.
“Kita merancang untuk memulakan projek ini di Daerah Pendang , kerana tanah di sini sesuai untuk tanaman Nangka Mastura dan Nangka Tekam Yellow. Pada peringkat awal kita menjangkakan 5 ribu pokok akan ditanam di daerah ini dan termasuk di Bukit Perak. Itu adalah pada peringkat awal dan jika kita lebih giat lagi mungkin kuantitinya akan menjadi jauh lebih banyak.
“Jika tanah tidak mencukupi, maka ketua-ketua kampung dalam satu mukim boleh himpunkan 10 hektar tanah terbiar, walaupun ianya tanah dikawasan berasingan. Maka kita boleh campurkan semua tanah tersebut dan tubuhkan satu jawatankuasa kemudian membuat permohonan kepada Jabatan Pertanian,” terangnya.
Dato’ Amiruddin berkata, jika tanah seperti itu juga tiada, maka penduduk kampung boleh menggunakan tanah di sekeliling rumah mereka untuk memulakan projek. Kempen inilah yang dinamakan Satu Rumah 10 Pokok Buah-Buahan.
Projek ini juga bermatlamat untuk membersihkan kawasan kampung dengan menebang pokok yang tidak memberikan manfaat dan selepas pembersihan dilakukan penduduk kampung boleh berbincang dengan pihak Jabatan Pertanian untuk memastikan tanaman yang sesuai ditanam di kawasan tersebut.
“Selain itu, untuk mengelakkan tanaman ini terbiar dan tidak mendapat pulangan, maka pihak tuan perlu berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui sama ada tanah tersebut sesuai atau tidak untuk tanaman tersebut dan seterusnya untuk proses pemasaran buah tersebut.
“Contohnya nangka Mastura ianya sesuai untuk dibuat jus dan kerepek tetapi masalahnya adalah bekalan nangka tidak mencukupi untuk membuat kerepek tersebut. Selain itu, buat masa sekarang pasaran nangka adalah tinggi terutamanya di luar negara seperti negara Chna dan masyarakat Arab juga sudah mula meminati buah nangka,” katanya.
Tambah Amiruddin, pasaran sekarang sudah terbuka luas dan penduduk tempatan hanya perlu menanam dan mengeluarkan hasil mengikut piawaian yang dikehendaki dan kerajaan negeri akan membantu dari segi urusan pemasaran supaya mendapat hasil daripada projek tersebut.
Untuk mengelakkan lambakan buah-buahan tersebut penduduk tempatan perlu membuat perjanjian dengan Syarikat Kedah Agro kerana syarikat tersebut mempunyai pasaran untuk buah-buahan tersebut.
“Selain itu, kita juga akan menjalankan kempen pemulihan dusun, dan program ini bukanlah dengan menebang pokok-pokok di dusun, tetapi hanya dengan mengahwinkan pokok-pokok tersebut dengan benih baru yang diingini maka selepas itu kita akan mendapat pokok yang dingini.
“Inilah hasrat kita, iaitu untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur kerana jika dilihat walaupun Belanda hanyalah sebesar Pahang namun ia mampu membekalkan makanan untuk seluruh Eropah dan ternakan lembunya melebihi jumlah penduduknya,” katanya.
Tambah Amiruddin lagi, kerajaan negeri tidak akan meninggalkan bidang pembuatan tetapi ianya adalah kerana bidang pertanian telah menjadi sinonim dengan Kedah sejak dahulu lagi. Kerajaan negeri akan memberikan suntikan teknologi baru supaya ianya menghasilkan pulangan ekonomi yang baik kepada rakyat Kedah yang bergiat dalam bidang pertanian.
Dato’ Amiruddin berharap selepas daripada kempen tersebut penduduk tempatan dapat mengikuti perkembangan yang seterusnya supaya sasaran 5 ribu pokok dapat ditanam pada tahun ini tercapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan