Sabtu, 4 Jun 2011

Perubahan ekonomi yang ingin dibawa PAS

Lim Hong Siang


"Manakah yang lebih utama, sama ada membina Menara Warisan RM5 bilion atau melaburkan dalam keperluan perkhidmatan asas - seperti pendidikan, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan dan pengangkutan?"

Demikianlah persoalan yang dilontarkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang (gambar kiri), yang seterusnya menuduh Barisan Nasional, "BN tidak memahami ke semua perhitungan ini kerana tidak mengambil kerangka dan asas pemikiran seperti dianjurkan oleh Islam. Sebaliknya urus-tadbirnya hanya untuk kepentingan kelompok tertentu yang ada hubungan dengan elit politik kerajaan UMNO-BN."

"Inilah hakikat di sebalik pelbagai cerita buruk dan skandal kegagalan projek mega - samada RM12.5 bilion kerugian dalam PKFZ dan RM1 bilion kos tambahan dalam projek Empangan Bakun, projek Istana Negara yang akhirnya dikatakan akan melonjak menjadi RM1 bilion! Khazanah rakyat akan terus menghangus sekiranya UMNO-BN terus memerintah, ditambah lagi apabila wujudnya projek mengampu yang dilaksanakan dengan menggunakan wang rakyat."

Abdul Hadi Awang menjelaskan, "Apa yang kita saksikan hari ini adalah segala-galanya yang bercanggahan dengan kaedah pengurusan dalam Islam yang meletakkan panduan keutamaan atau - Fiqh Al-Awlawiyyat - iaitulah mendahulukan yang lebih penting dari yang penting - 'Taqdim ahammu Minal Muhim'."

Sebelum ini, beliau menekankan bahawa menguruskan khazanah kekayaan negara mesti berpaksikan matlamat untuk memakmurkan seluruh penghuni muka bumi ini sesuai dengan peranannya selaku Khalifah Allah SWT.

"PAS menegaskan bahawa berdasarkan prinsip ini, maka sesebuah kerajaan mestilah menyerlahkan dan mengoperasikan penghayatan ini, bukan hanya pada tahap memperkenalkan polisi-polisi semata-mata bahkan lebih penting adalah dalam sistem penyampaian. Ini adalah untuk memastikan pengagihan kesejahteraan ekonomi ini sampai kepada rakyat di bawah yang memerlukan tanpa mengira latarbelakang politik, kaum dan agama seseorang itu," katanya.

Perubahan ekonomi bersama PR

Ahli parlimen Marang ini berkata, negara kita di suatu masa diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai antara yang terkaya di segi sumber negara per kapita rakyat, hari mendapati negara ini hilang daya-saing dan dibebankan dengan hutang awam yang tinggi. Gejala jurang kekayaan antara kaya-miskin semakin melebar, pertumbuhan wilayah semakin tidak seimbang, inflasi meningkat, harga barang keperluan melambung naik sehingga membebankan rakyat, kos sara hidup asas rakyat meningkat dan pendapatan rakyat terperangkap dalam julat "pendapatan sederhana". Terkini Malaysia berdepan dengan pertumbuhan yang semakin lembap iaitu 4.6% dalam suku pertama berbanding 10.1% dalam suku pertama tahun 2010.

"PAS bersama rakan Pakatan Rakyat menerbit dokumen penyelesaian alternatif kepada kemelut ekonomi negara sebagaimana yang diperincikan dalam Buku Jingga. Janji 100 hari yang kita ungkapkan bersama dengan Pakatan Rakyat bukannya suatu omongan, tetapi ikrar kita kepada rakyat sekiranya pemerintahan Putrajaya berjaya berubah ke tangan kita."

Hadi Awang berkata, pendekatan agenda membetulkan urustadbir ekonomi yang PAS bawa adalah menekankan bahawa sesuatu "Perubahan Ekonomi" hanya akan dapat direalisasikan oleh sesebuah kerajaan yang juga melaksanakan "Reformasi Politik". "Ini juga selari dengan penegasan Islam yang menekankan bahawa urusan ekonomi mesti ada sangkut - pautnya dengan politik bahkan prinsip moral dan akhlak, ada perhitungan dosa-pahala dan bimbingan syariatnya," katanya.

"Kami yakin sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara ini, kami akan uruskan demokrasi agar ianya berfungsi dengan betul, seterusnya mengembalikan keyakinan, kewibawaan dan integriti kepada institusi-institusi kritikal dalam Negara, sekaligus mewujudkan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pentadbiran yang baik, maka kegiatan ekonomi dan pelaburan akan dapat dirancakkan dalam satu eko-sistem yang menggalakkan."

Beliau menyambung, ini akan serentak mewujudkan persaingan sihat dan menggalakkan pemacuan daya-saing melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Produktiviti pula mesti dipacu oleh peningkatan tahap pendidikan dan kebebasan berkarya, dan ini bermula dengan mengiktiraf martabat para pendidiknya.

"Begitu juga tentang penstrukturan semula Felda Plantation bagi tujuan memajukan peneroka supaya menjadi pemilik-pengusaha yang punya daya-saing yang tinggi dan memastikan hak milik mereka dibela, melaksanakan program khusus terhadap golongan petani, nelayan, buruh di berbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan, kakitangan kerajaan, yang semuanya menjadi nadi kepada denyutan ekonomi negara. Kita sekali-kali tidak akan membiarkan kerajaan memperhambakan rakyat dalam memacu pembangunan negara ini," katanya.

Masalah sistem

Selain itu, Abdul Hadi Awang turut menyentuh beberapa isu sistem, termasuk ketidakadilan sistem pilihan raya, akta yang mengekang kebebasan dan hakisan kewibawaan institusi seperti SPRM dan PDRM.

"PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Polisi Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS. Ianya melibatkan suatu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urustadbir negara. Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat."

Beliau berkata, "Kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan UMNO-BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila. Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan."

Beliau meneruskan, "Rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup, peluang yang sempit dan cara yang tidak telus. Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil mengikut makna demokrasi yang sebenar. Demokrasi bukan sahaja hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat daripada semua parti dan calon yang bertanding melalui media yang terbuka."

"Apa yang berlaku ialah, rakyat dizalimi dengan hanya disogokkan dengan maklumat dan hujah satu pihak sahaja, apabila BN yang memerintah menggunakan jentera penerangan milik kerajaan, masuk ke dalam tiap-tiap buah rumah di sepanjang masa dan di masa pilihan raya, sedangkan parti-parti dan calon-calon yang lain diberi peluang yang sangat terbatas, disertakan dengan undang-undang dan ugutan. Mereka tidak boleh menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan," tambahnya.

Hadi Awang menyambung, rakyat terus dibendung mindanya dengan media cari makan semata-mata, bukannya makan untuk hidup dan berbakti dengan ikhlas. Allah SWT pernah mengutuk amalan membodohkan rakyat yang pernah dilakukan oleh Firaun.

"Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan atau pemimpin tidak boleh bertahan dengan zalim dan menipu, kerana akhirnya akan jatuh secara hina di dunia dan paling hina di hari akhirat. Akibat ini pernah berlaku dalam sejarah lama dan moden. Maka banyak pemimpin negara yang matang demokrasi berundur dengan cara terhormat atau meletak jawatan atau bersedia dengan terbuka menerima keputusan rakyat secara bebas."

Akta yang mengekang kebebasan bersuara

Beliau berkata, PAS juga memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media secara adil dan bertanggungjawab, akan terus memperhebatkan tekanan ke arah pembubaran akta yang menekan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan seumpamanya.

"PAS juga komited memperjuangkan pemansuhan akta-akta yang zalim dan disalahgunakan seperti ISA, dan melakukan islah menyeluruh dalam mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara serta PDRM. Islah ini bukan sahaja menuntut perubahan sistem, tetapi memerlukan pengislahan minda dan spiritual seluruh pegawai atau manusia yang menggerakkan sistem itu sendiri."

"Muafakat bersama PAS ini juga berikrar untuk membetulkan konsep federalisme songsang yang diamalkan oleh UMNO-BN pada waktu ini, terutamanya memantapkan semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak."

Baca: Hadi: PAS bersama Pakatan untuk perbetulkan kefahaman Islam

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: