Rabu, 15 Jun 2011

Pemuda PAS: Umno salah faham, Himpunan Bersih 2.0 untungkan peniaga



Ahmad berkata Umno membantah sekeras-kerasnya Himpunan Bersih pada 9 Julai. — gambar fail


KUALA LUMPUR — Pemuda PAS Johor menyifatkan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan tidak memahami Perlembagaan Persekutuan apabila mendakwa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai akan menimbulkan keadaan huru-hara.

Semalam, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Umno membantah sekeras-kerasnya Himpunan Bersih atas alasan ia akan menimbulkan keadaan huru-hara dan menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

Bagaimanapun tegas Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat, dakwaan Ahmad tidak benar sama sekali kerana perhimpunan yang menuntut sistem pilihan raya yang telus itu adalah satu himpunan aman tanpa senjata.

Jelas beliau, himpunan aman tanpa senjata dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan selain “halal” di sisi undang-undang negara.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada Fasal 2, 3 dan 4 menyebut tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara, semua warganegara berhak berhimpun secara aman tanpa senjata dan semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan

“Datuk Ahmad Maslan telah menyatakan bahawa Himpunan Bersih 2.0 akan menyusahkan rakyat, penjaja, peniaga dan pemandu teksi dan beliau turut menyifatkan himpunan ini adalah ancaman kepada ekonomi negara khususnya industri pelancongan dan pelaburan asing.

“Perkara pertama yang wajib difahami oleh Datuk Ahmad Maslan adalah himpunan aman tanpa senjata adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Perlembagaan dan ini bermakna bahawa himpunan tanpa senjata adalah halal di sisi undang-undang negara,” kata Suhaizan dalam satu kenyataan.

Dalam laporan media semalam, Ahmad juga berkata, perhimpunan itu sebenarnya bukan bertujuan memperjuangkan isu mengenai pilihan raya seperti yang dilaungkan oleh penganjurnya.

“Penganjuran perhimpunan ini jelas berniat jahat dan akibatnya orang ramai seperti peniaga, penjaja dan pemandu teksi yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya lebih banyak NGO membuat laporan polis membantah perhimpunan itu bagi memberi tekanan kepada penganjur membatalkan hasrat mereka.

Tegas Suhaizan, Himpunan Bersih 2.0 tidak akan mengundang perkara yang tidak diingini sebaliknya memberikan pulangan kepada negara termasuk kepada peniaga-peniaga.

Jelas beliau, dalam masa tiga jam sahaja, aliran tunai paling minima di kalangan peserta himpunan Bersih 2.0 berjumlah RM30 juta kerana mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain.

Peserta himpunan yang bakal hadir adalah seramai 300,000 orang, mereka datang daripada seluruh negara dengan membawa duit perbelanjaan masing-masing, sekurang-kurangnya RM100 seorang.

“Mereka akan berbelanja seperti membeli makanan, minuman, pakaian dan lain-lain kerana bukan semua mereka berkenderaan ke Kuala Lumpur.

“Sebahagian besar mereka menaiki kenderaan awam, oleh itu perkhidmatan bas, teksi, LRT dan lain-lain akan mendapat pulangan yang berganda dan kenyataan yang menyatakan bahawa penjaja, peniaga dan pemandu teksi akan mengalami kerugian adalah hujah yang paling dangkal di abad ini,” katanya.

Suhaizan juga berkata semua pihak termasuk parti politik dan pihak berkuasa harus menghormati antara satu sama lain dengan mengambil kira kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun semua pihak hendaklah saling hormat-menghormati antara satu sama lain... kerajaan, polis, jawatankuasa Bersih 2.0, Perkasa, Perkida, parti-parti politik dan lain-lain pihak harus menghormati kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Sebagai contoh mengapa tidak pihak polis membuat reformasi dalam menguruskan peserta himpunan dengan meletakkan anggota polis di sepanjang jalan dari Jalan Chow Kit ke Istana Negara di mana Ketua Polis Negara memandu Pengerusi Bersih Datuk Ambiga ke Istana Negara manakala di laluan yang lain pula Timbalan Ketua Polis Negara pula mengiringi Datuk Ibrahim Ali (Presiden Perkasa) menuju ke Istana Negara,” katanya.

Selain Himpunan Bersih 2.0, Perkasa juga akan mengadakan perarakan balas serentak pada 9 Julai yang mendapat reaksi kurang menyenangkan banyak pihak.

Ibrahim berkata pihaknya akan menganjurkan protes balas bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 selain mendakwa ia akan menimbulkan huru-hara.

Tiada ulasan: