Ahad, 5 Jun 2011

Pemimpin yang tewas akan kembali semula – Muslimat

Perubahan kepimpinan terutamanya apabila golongan ulama gagal menguasai barisan kepimpinan yang baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan bukan suatu perkara yang baru.


Laporan Muktamar Tahunan PAS ke 57


GOMBAK: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) Siti Zailah Mohd Yusof tidak menolak kemungkinan calon yang pernah mengetuai pimpinan PAS penggal lalu namun tewas pada pemilihan kali ini akan kembali semula memimpin parti itu pada penggal akan datang.

Baginya, perubahan kepimpinan terutamanya apabila golongan ulama gagal menguasai barisan kepimpinan yang baru ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan bukan suatu perkara yang baru.

Kamu akan lihat selepas ini bahawa semua yang kalah juga akan dimasukkan semula.

“Insya’Allah mereka akan memimpin, mereka ada penyokong, jadi mereka juga adalah pemimpin,” katanya ketika ditemui FMT di luar Dewan Dato’ Haji Fadzil Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-57 di sini hari ini.

Ini kerana katanya PAS dilihat mengamalkan konsep ‘penggiliran’ yang membuat keputusan secara bersama dan bukannya dianggap sebagai satu transformasi.

“Bila keputusan kolektif, kita cuma perlukan watak-watak tertentu untuk menerajuinya, melaksanakan apa yang telah diputuskan secara bersama.

“Itu sebabnya bagi kami (pemilihan) tidak menghairankan, hari ni orang ni naik, lepas tu walaupun ada orang yang tewas masih lagi bersama dalam pimpinan.

Pengumuman kepimpinan baru PAS Pusat penggal 2011-2013 menyaksikan kekalahan penyandang Timbalan Presiden dua penggal berturut-turut Nasharuddin Mat Isa ditangan Mohamad Sabu, begitu juga Siti Zailah yang berjaya mengenepikan penyandang Nuridah Salleh.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berjaya memperoleh 420 undi mengenepikan Nasharudin yang hanya mendapat 224 undi, manakala seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mendapat 399 undi.

Sementara itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang yakin dengan kewibawaan Mat Sabu yang dianggapnya sebagai calon terbaik mengetuai ‘kabinet’ PAS meghadapi pilihan raya umum (PRU13) akan datang.

Ini kerana katanya berdasarkan personaliti Mat Sabu yang mendapat sokongan meluas daripada akar umbi kerana kelantangannya semasa mengutarakan sesuatu isu.

“Mat Sabu adalah orang yang berani dan mendapat sokongan meluas daripada golongan muda, berani kehadapan dan sangat vokal…suasana berubah, kita perlu satu satu watak, yang boleh menggerakkan orang ramai, yang boleh mendapat sokongan terbanyak, itu penting bagi kita.

“Maka perwakilan merasakan saudara Mat Sabu adalah orang yang sesuai dalam memperkukuhkan gerakan dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya

Tiada ulasan: