Jumaat, 17 Jun 2011

Kes Sarbaini: Inkues perlu didulukan bukan suruhanjaya diraja, kata JPM


KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan inkues perlu diadakan terlebih dahulu untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbaini Mohamed meskipun wujud tekanan termasuk daripada keluarganya agar diadakan suruhanjaya diraja.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew memberitahu Parlimen bahawa inkues adalah pilihan pertama dan ia adalah prosedur yang perlu dipatuhi.

“Sebagai satu prosedur undang-undang, satu inkues perlu diadakan terlebih dahulu, selepas itu siasatan (melibatkan suruhanjaya diraja),” kata beliau.

Sebagai respons, wakil rakyat dari DAP Lim Kit Siang berkata, kerajaan seharusnya mengatasi keputusan polis dan Peguam Negara yang memanggil satu inkues berhubung kematian Sarbaini (gambar) di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini.

“Ada situasi di United Kingdom di mana suruhanjaya diraja dipanggil meskipun keputusan agar diadakan inkues sudah dibuat,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur ini pada sidang media kemudian.

Inkues itu akan didengar mulai 4 hingga 15 Julai ini.

Semalam, Lim berkata kerajaan seharusnya memenuhi permintaan dibuat oleh anak lelaki Sarbaini, Shahril Ahmad yang mengatakan bahawa keluarganya mahukan satu suruhanjaya, bukannya satu inkues.

Awal tahun ini, kerajaan memutuskan untuk mengadakan suruhanjaya diraja selepas inkues membuat keputusan terbuka dalam kes Teoh Beng Hock yang ditemui mati jatuh di Plaza Masalam Shah Alam.

Dalam kejadian dua tahun lalu itu, Teoh ditemui mati ketika disiasat SPRM.

Tiada ulasan: