Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional seharusnya mengambil iktibar dari Jerman dan Pulau Pinang menegah pembinaan logi tenaga nuklear yang berisiko tinggi serta industri nadir bumi demi memastikan pertumbuhan berterusan bukan sahaja terhadap alam sekitar yang hijau malah juga kesihatan serta keselamatan generasi kita. Jerman telah mencatat sejarah apabila mereka mengambil keputusan untuk menutup semua logi janakuasa nuklear menjelang 2022, walaupun mereka bergantung kepada 23% sumber tenaga nuklear.
Ketika Jerman membuat keputusan untuk menutup semua logi janakuasa nuklear, Kerajaan Malaysia pula tekad untuk membina dua buah logi janakuasa nuklear menjelang tahun 2022. Kenapa logi janakuasa nuklear tersebut perlu dibina untuk menghasilkan lebih banyak sumber tenaga untuk dijual kepada TNB sedangkan TNB tidak memerlukannya, ketika Malaysia kini mempunyai margin penggunaan tenaga yang tertinggi di dunia iaitu 52.6%?
Inilah alasannya Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menulis surat rasmi kepada Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin Fah Kui menyatakan bahawa Pulau Pinang menegah dan membantah pembinaan logi janakuasa nuklear di Pulau Pinang. Peter Chin dalam maklum balasnya telah bersetuju bahawa Pulau Pinang tidak akan dijadikan pusat logi janakuasa nuklear tetapi mereka (Kementerian) masih akan memilih tapak lain yang bersesuaian di Malaysia untuk membangunkan logi janakusa tersebut. Jelas sekali bahawa BN akan menjadikan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN sebagai tapak pembinaan memandangkan BN pasti mendapat kelulusan.
Malaysia seharusnya mengambil iktibar dari pengalaman yang terjadi ke atas logi janakuasa nuklear Fukushima, walaupun Jepun memiliki kepakaran yang tinggi dalam bidang tersebut. Berbanding Malaysia yang tidak mempunyai kepakaran dalam mengendalikan tenaga nuklear. Tidak ada sesiapapun yang yakin bahawa Malaysia mampu mengendalikan serta menguruskan logi janakuasa nuklear apabila pembinaan stadium dan terminal bas tanpa bumbung runtuh. Malah bumbung di Parlimen juga bocor walaupun selepas pengubahsuaian yang menelan belanja RM100 juta.
Di samping itu, Pulau Pinang juga menentang pembinaan tapak pemprosesan nadir bumi seperti yang ada di Kuantan di bawah Lynas Corporation. DAP kesal dengan Kerajaan BN yang tidak komited dalam memelihara dan memulihara alam sekitar yang berterusan sebaliknya mengorbankan kesihatan masyarakat demi keuntungan.
Hari Alam Sekitar Sedunia merupaka hari yang ulung dan disambut serata dunia untuk meraikan tindakan positif memelihara alam, memberi peluang kepada masyarakat untuk menjadi sebahagian dari tindakan ini untuk membina pandangan masyarakat ke arah yang lebih bersih, lebih hijau dan lebih gemilang bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk generasi masa hadapan.
Tahun ini, Hari Alam Sekitar Sedunia menfokuskan pada perhutanan dengan bertemakan "Forest: Nature at Your Service", untuk menggalakkan pemuliharaan hutan dan penjagaan yang berterusan ke arah penghijauan, untuk menyokong inisiatif Tahun Pengantarabangsaan Hutan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN).
Sahabat Alam Malaysia (SAM) telah mendedahkan bahawa projek Lynas telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang. JAS telah menerima "Preliminary Environmental Impact Assessment" (PEIA) iaitu Kajian Pengenalan Kesan Persekitaran pada 21 Januari 2008 dan diluluskan awal Februari tahun yang sama. Mengapa JAS bertindak melulu dengan memberi kelulusan untuk sesebuah projek yang rumit serta berpotensi melibatkan kesan radioaktif dengan pengurusan sisa yang tidak jelas, cadangan simpanan dan pelupusan?
DAP akan menyokong kempen menandatangangi tentangan terhadap kilang pemprosesan nadir bumi dan pembinaan dua logi janakuasa nuklear yang dicadangkan menjelang 2021. Kami juga akan meminta semua ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen dari BN untuk menandatangani petisyen tersebut pada 13 Jun ini menunjukkan komitmen mereka untuk sama-sama membina negara Malaysia yang lebih bersih, lebih hijau dan lebih selamat.
*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2011.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan