KOTA BARU — Kementerian Dalam Negeri akan memulakan program pemutihan dan pengampunan terhadap hampir dua juta pendatang asing tanpa izin di negara ini mulai 1 Julai ini.
Mulai tarikh itu, semua pengambilan pekerja asing akan dibekukan bagi memastikan program pemutihan dan pengampunan warga asing tanpa izin berjalan lancar.
“Kita juga sudah senarai pendek 200 syarikat swasta yang akan terlibat menguruskan pendatang tanpa izin itu,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong dipetik Bernama Online hari ini.
Lee berkata, program penyelesaian menyeluruh pendatang asing tanpa izin atau Program 6P itu dilaksana melalui pengwujudan sistem pendaftaran yang merangkumi pengambilan biometrik semua pendatang asing tanpa izin di Malaysia.
Program itu meliputi enam pelan tindakan melibatkan pendatang asing tanpa izin iaitu pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran.
Lee berkata, objektif pemutihan itu adalah untuk mengumpul data pendatang asing tanpa izin di negara ini termasuk berapa ramai yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan mengambil pekerja asing dan memberi peluang kepada pendatang asing tanpa izin untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan tetapi terhad kepada tempoh yang dibenarkan.
Beliau berkata 200 syarikat yang berminat menjadi wakil menguruskan pendaftaran pendatang asing tanpa izin itu telah mengemukakan permohonan menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari laman web www.moha.gov.my.
Kementerian Dalam Neneri menetapkan hanya syarikat yang berpengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pekerja asing akan dipilih manakala bagi pertubuhan atau persatuan pula ia hanya membabitkan majikan serta yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
“Kita mempunyai 1.9 juta warga asing yang sah bekerja di negara ini. Berdasarkan maklumat, pendatang asing tanpa izin juga berjumlah dua juta,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan