PENERANGAN….. Jannie sedang memberi ingatan kepada para peserta sebelum dialog bermula.
Oleh: MUNSING MAJUSI
PANEL Inkuiri Nasional Hak Tanah Orang Asal yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tenom pada Sabtu telah membuka ruang kepada penduduk di kawasan terbabit membincangkan masalah tuntutan tanah adat atau NCR secara meluas dan terperinci.
Namun ketika sesi pendengaran bermula, isu tanah adat (NCR), isu geran komunal dan kawasan hutan simpan menjadi topik hangat menjajah sesi berdialog dengan para peserta di Dewan Seri Antanom, yang dihadiri kira-kira 200 orang peserta.
Kelihatan para peserta yang mengambil bahagian dalam sesi dialog begitu bersemangat sekali kerana tanpa segan silu menuding jari kepada kerajaan yang mengamalkan pentadbiran kurang cekap, menyebabkan masalah pengurusan masalah rakyat, khususnya masalah permohonan tanah.
Mereka mendakwa bahawa tanah-tanah mereka yang sudah diukur lebih 30 tahun lalu, tetapi sehingga sekarang tidak dikeluarkan geran. Malahan ada juga terdapat tanah rizab perkampungan seperti di Kg Gumisi yang disuarakan Nasip Ampiu kerana 150 orang penduduk kampung terpaksa berputih mata dan menjadi pelarian di bumi sendiri apabila tanah tersebut dimiliki syarikat ternama dari Semenanjung Malaysia.
Para peserta dibenarkan bercakap dalam sesi dialog itu dengan masa yang terhad di hadapan Panel Inkuiri Suhakam terdiri daripada, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Azam; Pesuruhjaya Mohammad Sha’ani; Pesuruhjaya Suhakam Sabah Jannie Lasimbang dan Mantan Naib Pengerusi Suhakam Nasional Tan Sri Simon Sipaun.
DAFTAR…..Sebahagian peserta sedang mendaftar nama sebelum memasuki dewan.
Sebelum itu, para peserta telah diberitahu Pesuruhjaya Suhakam Sabah, Jannie Lasimbang bahawa pihak mereka terpaksa melaksanakan beberapa sesi termasuk sesi konsultansi dan sesi pendengaran awam (Public hearing) sebelum kesemua laporan, selepas dirumus oleh para panel Inkuiri, akan diserahkan kepada Dewan Rakyat Parlimen Malaysia untuk tindakan seterusnya.
Lasimbang seterusnya berkata, sesungguhnya Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang, namun berfungsi untuk mengesyorkan kepada kerajaan merumuskan perundangan dan arahan serta tatacara pentadbiran; selain menyiasat aduan berkenaan dengan terutama pelanggaran hak asasi manusia.
Peserta daripada Kg Ulau, Sipitang, Yakub Burung, 70, tidak melepaskan peluang untuk mempertikaikan tindakan Jabatan Perhutanan yang memberi mereka notis untuk mengosongkan kawasan itu yang berada dalam Hutan Simpan.
Tegasnya lagi, sedangkan kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Musa Aman baru- baru ini yang memberi jaminan bahawa penduduk yang mendiami kawasan Hutan Simpan tidak akan diganggu lagi oleh pihak berkuasa, kerana mereka akan diberi peluang menduduki kawasan tersebut.
GELISAH….Sebahagian Peserta yang mengambil bahagian. Dari kiri, Yakub Burung (Sipitang), Sarbini Ansumor (PBS) dan Musah Baliu (Tomani).
“Jadi, kami mahu tanya mana satu yang betul, sama ada kenyataan Ketua Menteri atau Jabatan Perhutanan? Kami sudah hantar surat bantahan ini kepada Ketua Menteri Sabah berhubung perkara tersebut, tetapi belum ada jawapan. Kami berhak menuntut kawasan itu sebagai tanah waris kami turun temurun,” jelas Yakub.
“Kalaulah kami penduduk disitu kena halau keluar dari tanah tumpah darah kami, maka di manalah kami mahu berteduh atau berkampung? Apakah kami menjadi pelarian di negeri sendiri,” tambah Yakub lagi
Seorang penduduk Kg Imahit, Musah Balu, 56, bertegas bahawa mereka tidak akan menerima Geran Komunal sepertimana yang ditawarkan oleh kerajaan selepas tanah NCR dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan.
Beliau juga mempertikaikan tindakan kerajaan melarang mereka mengusahakan tanaman padi huma (padi bukit) di kawasan tersebut kononnya tindakan mereka berladang di situ akan merosakkan eko sistem flora dan fauna seterusnya melakukan pencemaran kepada sungai Tolokoson yang berhampiran.
“Kenapa pula tindakan kami yang sekadar berladang dilabelkan sebagai perosak kepada eko sistem dan melakukan pencemaran sungai, sedangkan kegiatan membalak di kawasan SFI yang telah merosakkan tanah bukit dengan serius tidak dilarang, malah tidak pula dilabel sebagai perosak eko-sistem,” tegasnya.
Manakala Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor yang kurang pasti tujuan dan matlamat kerajaan memperkenalkan ‘Geran Komunal’ sepertimana yang diumumkan kerajaan sebelum ini kerana tidak ada sebarang maklumat diberikan.
Beliau menegaskan, sepatutnya penerangan secara menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu konsep dan tujuan pemberian Geran Komunal kepada rakyat, khususnya para penduduk yang terlibat supaya mereka memahami niat suci kerajaan dan memberi peluang rakyat mengemukakan cadangan balas kepada kerajaan.
“Apa yang kita tahu, hanya segelintir Pengerusi JKKK sahaja yang diberi taklimat tetapi tidak dilakukan secara menyeluruh. Tanah pusaka hak milik seseorang individu untuk kehidupan sebaliknya bukan untuk keuntungan. Bagaimana kita mahu jelaskan kepada rakyat?” tegas Sabini yang khuatir pemimpin akar umbi tidak mempunyai kekuatan untuk mematahkan serangan pembangkang disebabkan tidak faham rupa bentuk dan ciri-ciri serta kelebihan Geran Komunal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan