KUALA LUMPUR — Tindakan Putrajaya mengadakan inkues tanpa mengambil kira pandangan keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, yang masih mahukan suruhanjaya diraja siasatan, satu langkah tidak menghormati mereka, kata peguam N Surendran dari Lawyers For Liberty.
Ini kerana jelas Surendran, pandangan atau pendirian keluarga penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia perlu diambil kira dalam setiap keputusan yang mahu dibuat Putrajaya termasuk mengadakan inkues bagi mencari punca kematian.
“Sudah pasti kerajaan perlu mengambil kira pandangan keluarga Ahmad Sarbaini sebab mereka ada hak dan tindakan kerajaan ini langsung tidak menghormati mereka sebagai keluarga... saya difahamkan mengenai inkues ini juga keluarga tidak tahu.
“Sepatutnya polis perlu memberikan maklum balas kepada keluarga, mereka berhak tahu apa yang berlaku dan pada saya, suruhanjaya diraja adalah lebih baik daripada inkues.
“Dan, apa yang pasti tindakan kerajaan membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada keluarga amat tidak wajar dan tidak menghormati mereka... kalau nak buat apa-apa, pandangan keluarga perlu diambil kira sebab mereka yang paling penting,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Awal pagi ini The Malaysian Insider melaporkan, anak sulung Sarbaini, Shahril, 27, menolak keputusan Putrajaya mengadakan inkues yang akan bermula 4 Julai ini. Ia akan diketuai koroner Aizatul Akmal Maharani.
Jelas Shahril (gambar, kiri), pihaknya lebih suka jika Putrajaya terus menubuhkan suruhanjaya diraja siasatan berbanding inkues.
Kata Shahril, keluarga itu percaya inkues yang mahu diadakan sukar untuk mengenal pasti punca kematian selain akan melambatkan proses menuntut keadilan.
Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM pada 6 April lalu setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.
Mengakui suruhanjaya diraja siasatan lebih baik daripada inkues, Surendran yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, sepatutnya kedua-dua tindakan susulan itu harus dibuat selepas polis mendedahkan hasil siasatan yang masih menjadi “rahsia” sehingga kini.
Sambil menyifatkan punca kematian Sarbaini bukan “bunuh diri”, beliau berkata, sepatutnya hasil siasatan polis itu sudah cukup untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
“Kes ini sepatutnya disiasat secara profesional, cepat dan pendakwaan dilakukan dengan segera... sebab menurut maklumat yang kita terima kes ini bukan bunuh diri, malah Ahmad Sarbaini juga tidak mempunyai apa-apa kekayaan luar biasa, jadi tiada alasan untuk dia bunuh diri.
“Kalau kita lihat sejak dari kes ini berlaku sehingga kini, tiada tindakan diambil, hasil siasatan juga kita tidak tahu dan tiba-tiba mahu mengadakan inkues seolah-olah macam ada sesuatu yang nak dibuat,” katanya
Tegas Surendran, tindakan Putrajaya yang secara tiba-tiba mahu mengadakan inkues tidak wajar selagi hasil siasatan polis yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara didedahkan kepada umum, selain boleh menimbulkan persoalan mengenai status sebenar perkara itu.
“Adalah tidak wajar jika terus mengadakan inkues sedangkan hasil siasatan tidak didedahkan... saya nak beritahu inkues bukan tempat dedahkan hasil siasatan tapi tempat mencari punca kematian.
“Saya khuatir inkues yang akan diadakan ini akan dipengarui dengan banyak aspek seperti yang berlaku dalam inkues Teoh Beng Hock, sebab itu saya katakan jika polis tidak dapat buat pendakwaan lebih baik hasil siasatan didedahkan supaya kita tahu apa yang berlaku,” katanya.
Surendran sekali lagi menegaskan, polis seharusnya mendedahkan hasil siasatan selain mengambil tindakan lanjut termasuk inkues atau suruhanjaya diraja siasatan.
“Bagi saya suruhanjaya diraja siasatan lebih baik daripada inkues, tetapi apa yang lebih baik sekiranya polis mendakwa mereka yang terlibat dalam kematian Ahmad Sarbaini.
“Jika polis tidak dapat cari punca kematian, dedahkan sahaja hasil siasatan mereka... melalui itu kita boleh tahu mengapa tiada tindakan diambil, tiada pendakwaan dibuat dan mungkin siasatan itu tidak sempurna,” katanya.
Kematian Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM selepas Teoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan