KUALA LUMPUR: Sempena menyambut Hari Kebebasan media sedunia yang jatuh pada 3 Mei lalu, Bloggers Universe Malaysia (BUM) akan mengadakan forum bertema “Bloggers’ Solidarity with the Press?” pada 11 Jun ini.
Forum yang dijadualkan bermula jam 7.45 petang di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) itu akan dimulakan dengan ucapan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bertajuk “Legislating Freedom of Information Act in Parliament”.
Antara barisan panel yang dijemput menghangatkan forum tersebut terdiri daripada bekas ketua editor Cheam Toon Lee, Kartunis portal Malaysiakini, Zulkiflee Anwar Ulhaque atau lebih dikenali sebagai Zunar, Presiden Majlis Peguam yang juga pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan bekas Presiden NUJ, Hata Wahari.
Menurut Pengarah Pusat Dasar Inisiatif (CPI Malaysia), Dr Lim Teck Ghee berkata, suasana politik hari ini menyaksikan media arus perdana terus menjadi alat pemerintah.
Justeru katanya, adalah penting bagi penulis blog dan pengamal media yang berintegriti untuk menyajikan berita yang benar berdasarkan objektif dan analisis tepat kepada rakyat Malaysia.
“Saya berharap forum ini akan memberikan perangsang kepada pengamal media dan penulis blog mengingatkan kembali pendirian etika kewartawanan dan laporan yang bebas,” kata Lim dalam kenyataannya hari ini.
Manakala, Pengerusi Jawatankuasa YL Chong atau Desiderata berkata, program itu pada asalnya dijadual pada Mei lalu, tetapi terganggu akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, April lalu.
“Namun demikian, saya bersemangat untuk tampil selepas melihat nasib yang menimpa Hata Wahari yang dipecat majikannya untuk dijadikan tema pertemuan BUM kali ke lima,” ujarnya.
Bagi mendapatkan keterangan lanjut berhubung forum itu boleh melayari laman sesawang bum4msia.wordpress.com atau menelefon terus kepada YL Chong di talian 012-9702285. Orang ramai dijemput hadir dan masuk adalah percuma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan