Isnin, 13 Jun 2011

Belia: Kerajaan perlu titik berat pembangunan insan

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) mahu kerajaan menyatakan secara terperinci mengenai pengisian pada program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya, Mei lepas.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, berkata kerajaan sewajarnya menitik beratkan pengisian yang menjurus ke arah pembangunan insan dan perpaduan kaum.

"Apakah program pengisian secara terperinci kerana yang terpenting dalam erti belia ialah membangun insan dari segi keilmuan, moral, perpaduan di kalangan kaum masyarakat majmuk yang sangat penting dan ini perlu ditekankan," katanya.

Presiden PAS itu turut meminta Kementerian Belia dan Sukan menyatakan langkah susulan terhadap belia yang tidak mengambil peduli tentang kepentingan kehidupan bermasyarakat.

"Boleh Yang Berhormat nyatakan pencapaian kedatangan dalam perhimpunan itu dan apakah langkah susulan yang diambil terhadap belia yang tidak ambil tahu langsung tentang kewajipan bermasyarakat serta terpengaruh dengan gejala-gejala negatif," katanya yang juga Adun Rhu Rendang.

Ustaz Hadi dalam soalan asalnya meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan apakah motif sebenar Himpunan Sejuta Belia yang diadakan pada Mei lepas serta pembentukan kumpulan sukarelawan di kalangan belia bagi melahirkan belia yang sanggup memberi sumbangan kepada masyarakat dalam apa jua keadaan apabila diperlukan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik dalam jawapannya berkata himpunan tersebut merupakan himpunan besar yang memaparkan kekuatan tenaga, bakat, kreativiti dan semangat kerja berpasukan di kalangan belia.

Namun himpunan tersebut bagi sesetengah pihak hanyalah tindakan kerajaan untuk meraih sokongan belia terhadap BN.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya menyeru belia agar mempertahankan Putrajaya serta mendakwa Pakatan Rakyat akan menggadai wilayah itu jika berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.


Tiada ulasan: