Ahad, 19 Jun 2011

Ambiga: Saya tak peduli serangan peribadi Perkasa, Bersih bukan soal individu


KUALA LUMPUR — Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan beliau tidak kisah serangan peribadi yang dilakukan oleh Perkasa berhubung usaha pihaknya mengadakan Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Sambil menyifatkan serangan peribadi Perkasa agak keterlaluan, Ambiga juga berkata tiada tindakan undang-undang akan diambil terhadap pertubuhan bukan kerajaan itu.

“Apa saya boleh buat? Saya tidak akan mempedulikan serangan peribadi yang dilakukan terhadap saya kerana Bersih bukan soal satu individu.

“Bersih adalah satu gerakan kemanusiaan, kita ada 14 ahli jawatankuasa pemandu dalam Bersih dan keputusan yang dibuat ini adalah keputusan bersama Bersih,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Perkasa ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih petang tadi bertindak membakar gambar Ambiga dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Ibrahim juga mendakwa Ambiga (gambar) sebagai ejen Yahudi.

Selain mengecam penganjuran Himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.

Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Tambah Ambiga, tuntutan-tuntutan yang dibuat Bersih adalah benar dan ia tidak boleh dinafikan SPR.

“Malah tiada sesiapa pun yang boleh menafikan bahawa tuntutan yang kami buat ini adalah tidak sah dan perhimpunan kita secara aman, kami juga akan gerakkan himpunan ini dengan bertanggungjawab.

“Dan, jika ada keganasan yang berlaku ia bukan daripada pihak kita,” katanya.

Ditanya sekali lagi mengenai serangan peribadi itu, Ambiga menegaskan beliau tidak akan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan berharap polis akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya tidak akan memberikan apa-apa komen soal serangan peribadi yang dilemparkan kepada saya, saya percaya polis akan jalankan tugas mereka.

“Saya percaya polis akan ambil tindakan yang mereka fikirkan sepatutnya buat. Pada saya serangan yang dilemparkan agak keterlaluan,” katanya.

Tiada ulasan: