Isnin, 28 Mac 2011

Daim: Pemimpin BN harus peka tentangan dan tuntutan rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Tun Daim Zainuddin yakin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus hidup berdasarkan kepada pengamatannya terhadap senario politik semasa.

Bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu berkata selagi rakyat tetap berhemah dan bijak membezakan antara padi dan sekam, beliau percaya BN akan terus memerintah.

“Saya tak fikir BN boleh kalah lebih teruk daripada pilihan raya umum 2008. Situasi politik pada 2008 itu amat berbeza daripada situasi sekarang,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan akhbar itu hari ini.

Berikutan itu, Daim yang juga bekas Bendahari Umno, menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno dan (BN) supaya sentiasa mengawasi diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat.

Beliau mengingatkan jika mereka tidak waspada dan berhati-hati dalam semua tindakan, suasana tenang boleh bertukar menjadi keruh dalam sekelip mata.

“Maka, para pemimpin Umno dan BN perlu sentiasa awas diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat, baik sekecil mana sekali pun, walaupun kita sedar tidak mungkin semua masalah dapat diselesaikan semahu-mahunya,” katanya.

Daim juga berkata setiap wakil rakyat dan pemimpin BN harus bekerja keras untuk “menghidupkan” Umno dan BN dan bukannya “mencari hidup” daripadanya.

“Oleh itu setiap wakil rakyat, setiap pemimpin BN, baik yang kecil atau yang besar, harus sentiasa “turun padang”, jangan tunggu “padang” datang kepada kita,” katanya dalam wawancara panjang yang turut menyentuh pelbagai isu politik semasa tanah air.

Menurutnya menerusi acara turun padang, mereka boleh mendapat maklum balas yang betul untuk menyelesaikan masalah rakyat dan ini boleh mengukuhkan lagi Umno.

Beliau memberikan contoh bagaimana Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang sentiasa turun padang sama ada di majlis kenduri perkahwinan, kematian, kebakaran dan kemalangan.

Tiada ulasan: