Jumaat, 12 November 2010

Isu patriotisme: DAP bawa usul potong gaji Zahid

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berhadapan perbahasan usul potong gaji RM10 ekoran kenyataan beliau kelmarin mendakwa semangat patriotisme yang belum cukup tinggi di kalangan bukan Melayu sebagai punca orang Cina dan India tidak berminat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Usul itu dikemukakan terhadap Menteri Pertahanan itu oleh Ahli Parlimen DAP dari Ipoh Barat M. Kulasegaran (gambar) hari ini.

Ketika bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Kulasegaran mengesahkan usul itu akan dibahaskan pada minggu kedua bulan depan.

“Biar saya memberitahu Zahid bahawa kenyataan yang tidak sensitif dan tidak berasas di Parlimen itu telah menyinggung perasaan bukan Melayu,” kata Kulasegaran pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Kata beliau, penjelasan Zahid mengenai kenyataan itu semalam hanya menambah ‘garam’ ke atas luka memandangkan ia menunjukkan menteri Umno itu gagal memahami ketidakadilan apabila mengaitkan semangat patriotisme dengan keengganan bukan Melayu menyertai perkhidmatan ketenteraan.

“Daripada cuba lari daripada isu dengan bermain kata-kata, beliau harus berani dan perlu bertanggungjawab untuk mengakui kesilapan beliau dan meminta maaf kepada orang bukan Melayu,” kata beliau lagi.

Semalam, MIC juga mengambil pendirian MCA dengan menegaskan Zahid tidak wajar mendakwa semangat patriotisme yang belum cukup tinggi di kalangan bukan Melayu sebagai punca orang Cina dan India tidak berminat menyertai ATM.

Kelmarin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meminta menteri-menteri Umno agar berhenti daripada membuat kenyataan yang mempersoalkan kesetiaan dan integriti bukan Melayu.

Dr Chua berkata tindakan sedemikian hanya akan memudaratkan usaha memperbaiki keharmonian kaum.

Dalam reaksinya hari ini, Dr Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan bahawa permohonan bukan Melayu tidak berjaya atas beberapa sebab termasuk gagal semasa temu duga fizikal.

“Oleh yang demikian, saya berpendapat untuk mengaitkan isu semangat patriotisme dengan penyertaan kaum bukan Melayu dalam ATM adalah tidak tepat.

“Saya sebagai seorang pemimpin masyarakat, sedih dengan kenyataan ini, lebih-lebih lagi daripada seorang lagi pemimpin masyarakat dan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di Dewan Rakyat, Zahid berkata, hanya terdapat 903 anggota bukan Melayu dalam ATM yang memasuki perkhidmatan itu bagi tempoh dua tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 82 anggota kaum India, 26 (Cina) manakala 795 lagi adalah kaum-kaum lain yang meliputi kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

“Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” kata Zahid yang juga Naib Presiden Umno.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak meletakkan sebarang kuota untuk kemasukan dalam ATM kerana penyertaannya adalah berasaskan kelayakan, minat dan secara sukarela.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jakarta yang dipetik Bernama, Zahid mendakwa ATUM tidak ada prasangka kaum dalam pengambilan anggotanya dan oleh itu tidak timbul persoalan bukan Melayu kurang semangat patriotisme.

Zahid berkata rakyat daripada semua kaum boleh menyertai ATM dan berpeluang menyandang jawatan berpangkat tinggi.

Kata beliau, jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Tiada ulasan: