MUKADIMAH:
DI satu sudut yang terasing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berpuluh-puluh pelawat yang mahu melepasi pintu sempadan negara disekat di satu ruang kaca dikenali sebagai Holding Lounge.
Namun mereka itu bukannya penjenayah, cuma gelarannya tidak layak memasuki Malaysia berdasarkan kesalahan teknikal dalam dokumen perjalanan masing-masing.
Kewujudan mereka di bilik kaca yang kadangkala dalam tempoh lebih seminggu, membuatkan ada yang tertanya-tanya apakah nasib mereka sebenarnya.
Ikuti pendedahan eksklusif wartawan Mingguan mStar yang merupakan media tunggal yang dibenarkan membuat liputan di kawasan larangan berkenaan.
Tahanan bilik kaca
BERBICARA tentang tahanan warga asing, pasti ramai yang terfikir tentang pendatang dari luar yang memasuki ke negara ini secara haram.
Ini termasuk juga mereka yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya menetap melebihi masa atau bekerja tanpa menggunakan permit sah.
Mereka yang ditangkap penguat kuasa akan dihantar ke depot tahanan Jabatan Imigresen sementara menunggu penghantaran pulang secara beramai-ramai ke negara asal masing-masing.
Namun tidak ramai yang tahu Jabatan Imigresen turut melakukan sekatan masuk ke atas warga asing serta-merta di pintu masuk negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT).
Walaupun pelawat asing tiba di negara ini secara sah, tetapi ketidakpatuhan kepada syarat kemasukan menyebabkan pihak berkuasa berhak menyekat kedatangan mereka.
Kumpulan ini tidak dihantar ke Depot Tahanan Imigresen KLIA kerana mereka bukan pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya ditempatkan di ruangan menunggu khas yang dikelilingi dinding kaca.
Mereka mungkin tidak melakukan kesalahan atau jenayah, namun tidak dibenarkan melepasi pintu masuk negara dan perlu kembali ke negara asal kerana beberapa sebab tertentu.
Ruang menunggu itu merupakan bilik tahanan sementara KLIA atau lebih dikenali sebagai Holding Lounge (HL) yang terletak bersebelahan pintu kemasukan pekerja asing.
Kedudukannya agak terasing, jauh daripada pandangan pelawat meskipun di aras sama dengan bahagian pasport Malaysia dan antarabangsa.
Tidak hairanlah sekiranya kewujudan bilik itu tidak diketahui atau disedari ramai khususnya para pengembara yang lain namun hakikatnya kemudahan itu banyak menyumbang kepada usaha menyelamatkan negara daripada dipenuhi pelancong asing yang diragui kehadiran mereka ke negara kita.
Hantar pulang
Bilik khas itu merupakan penempatan warga asing sepanjang tempoh menunggu sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal dengan pesawat mengikut jadual penerbangan berikutnya.
Ketua Operasi Imigresen KLIA, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, sebagai pintu utama Malaysia, KLIA terdedah dengan pelbagai risiko yang melibatkan keselamatan negara dan lain-lain faktor luaran.
“Oleh kerana KLIA merupakan satu kawasan yang sangat besar dengan bilangan ramai pengunjung setiap masa, pihak berkuasa perlu mewujudkan satu bilik khas yang boleh menempatkan para warga asing yang masuk ke negara kita dengan pas lawatan tetapi mereka dihalang dari meneruskan niat mereka kerana kehadiran mereka diragui atas pelbagai sebab.
“Tanpa pengawasan rapi, mereka mungkin berjaya membolosi pintu masuk di KLIA dengan apa cara sekali pun kerana kemasukan itu adalah tujuan utama mereka ke negara ini,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.
Menurut Shahul, mereka yang cuba memasuki Malaysia sebagai pelawat tidak tulen akan mengakibatkan sebarang kemungkinan yang boleh memudaratkan negara di kemudian hari sekiranya tidak dikawal.
“Imigresen KLIA sentiasa memastikan setiap kemasukan warga asing adalah pelawat yang benar-benar tulen tanpa sebarang agenda tersembunyi,” katanya.
Ini kerana jelasnya, ketulenan berdasarkan dokumen mereka menunjukkan kualiti kemasukan kerana ia memberi manfaat kepada negara terutama dari segi ekonomi dan pelancongan.
Antara sebab-sebab kegagalan warga asing mematuhi syarat kemasukan termasuk penggunaan visa dan dokumen palsu serta dikenal pasti sebagai individu yang disekat daripada melepasi pintu masuk Malaysia berdasarkan senarai syak oleh Jabatan Imigresen.
Shahul berkata, senarai syak itu merupakan nama-nama yang disenarai hitam yang disebabkan kesalahan yang pernah mereka lakukan sewaktu berada di Malaysia sebelum ini.
“Antara kesalahan dilakukan mereka adalah menetap di negara ini lebih masa, bekerja tanpa permit yang sah atau terlibat dengan kes jenayah seperti pelacuran.
“Mereka yang disenaraihitamkan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia melainkan mendapatkan kelulusan menerusi Kedutaan Malaysia di negara mereka,” jelasnya.
Kewujudan HL menunjukkan kesungguhan Jabatan Imigresen yang tidak akanberkompromi dengan mana-mana warga asing yang sewenang-wenangnya mahu memasuki Malaysia atau pelbagai pas lawatan dan sebagainya.
Seiring dengan moto iaitu ‘Memudah dan Mengawal’, Jabatan Imigresen komited mengawal ketat tetapi pada masa yang sama memudahkan pergerakan keluar masuk setiap individu di pintu masuk utama negara seperti KLIA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan