Rabu, 25 Ogos 2010

JPJ Mula Periksa Bas Ekspres Untuk Hari Raya

BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 116 bas ekspres di Terengganu termasuk bas tambahan yang telah diberi lesen untuk beroperasi pada musim perayaan ini akan diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik.

Pengarah JPJ negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, sehingga hari ini sebanyak 44 bas ekspres diperiksa.

"Dalam tempoh itu JPJ telah pergi ke semua lapan depot bas ekspres di negeri ini dan kami telah memeriksa keadaan bas termasuk daripada segi brek serta tayar.

"Setiap bas yang diperiksa kita keluarkan slip menandakan bas itu selamat untuk digunakan," katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah depot bas ekspres di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, antara depot bas ekspres yang diperiksa JPJ ialah Sani Ekspres, Adik Beradik, Tasik Kenyir, S P Bumi, Transnasional, Nini Ekspres, Mutiara dan Mega Jaya.

Sebahagian besar bas belum diperiksa kerana sedang beroperasi dan pemeriksaan akan tetap dilakukan apabila bas-bas berkenaan memasuki terminal, katanya.

Sementara itu, jurucakap Bas Ekspres Syarikat Pengangkutan Bumi berkata semua tiket bas untuk perjalanan ke Utara dan Selatan pada 2 dan 3 September telah habis dijual.

Tiada ulasan: